Saturday 28 August 2010

status: In relationship with .... ♥ ♥

assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah, sepanjang-panjang kesyukuran ana panjatkan ke hadrat Ilahi yang masih memberikan peluang kepada ana untuk bernafas pada detik ini sekaligus memberikan ana kesempatan untuk menyiapkan satu lagi cetusan minda serta perkongsian buah fikiran dengan antum/antunna sekalian.

Mungkin ana bukanlah orang yang layak untuk membicarakan soal ini. Namun, ia tidak membataskan usaha ana dalam meneruskan dakwah di jalan Ilahi, moga-moga usaha kecil ana ini dipandang besar di sisi Nya dan dapat menjadi kifarah atas dosa-dosa ana yang lampau. Sesungguhnya ana berasa sungguh bahagia dan bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang muslim dan diberi juga peluang oleh Nya untuk mengenali Zat Nya bukan sahaja hanya untuk menjadi muslim pada nama ataupun muslim warisan tapi inshaALLAH more than that.

Ayuh, antum antunna sekalian, kita semua hidup cuma sekali, maka tidak salahlah kiranya jika hari ini, detik ini kita gunakan semaksima yang mungkin ke jalan Nya. Fastabiqul khairat! :)

Facebook kini makin menjadi kegilaan umum tidak mengenal perbezaan usia, agama, bangsa, dan negara apa-apa pun. Malah jika dilihat, ada di antara golongan ibu bapa juga kini semakin advance, sudah ramai yang mempunyai akaun di laman web sosial tersebut. Apakah kesan semua ini berlaku? Dapatkan golongan dewasa ini memberikan contoh yang terbaik kepada golongan pelapis seperti antum antunna sekalian sekiranya mereka pun mula aktif dengan laman web tersebut? Adakah kehadiran mereka di laman web sosial tersebut dapat meminimumkan pergerakan bebas anak-anak mereka yang sudah tidak mengerti apa-apa pun perihal fiqh ikhtilat itu?
Wallahua'lam

Tapi bukan itu yang ana cuba kupaskan dalam entri pada hari ini. Ana tersentak melihat makin banyak pula video-video luahan perasaan cinta yang di-upload di facebook sejak kebelakangan ini. Di saat makin ramai umat Islam berlumba-lumba membuat kebajikan serta melaksanakan ibadah dengan penuh khusyuk nya di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini, masih ada juga segelintir golongan yang masih jahil yang berbuat kesalahan secara terang-terangan di facebook ataupun laman-laman web lain yang sewaktu dengannya.

Bukanlah diri ini baik mahupun alim sangat perihal agama ini, sememangnya masih belum layak rasanya untuk ana membincangkan soal ini. Namun begitu, adakah ana senang jika hanya mengambil langkah untuk hanya berdiam diri menyaksikan kemungkaran berlaku di depan mata tanpa mengambil inisiatif sedikit pun untuk menegahnya? Tidak!! Ana tidak mampu, kerana itulah ana perlu melaksanakan shahadatul haq bagi pihak diri ana untuk membincangkan permasalahan ini.

Bukankah telah berkali-kali diulang bahawasanya untuk memiliki suatu hubungan yang tanpa akad nikah itu adalah haram hukumnya di sisi agama Islam. Tidak mengapalah jika antum antunna masih belum mengerti, tapi once kita semua dah tahu, susah atau mudah, kita tidak boleh lagi mencari alasan untuk menghalalkan hubungan tersebut. Cukup payah untuk ana sendiri untuk mengeluarkan kata-kata ini kerana ana sendiri tidak terlepas dalam kondisi sebegitu sebelum ini. YA!! Tidak mudah untuk melakukannya, tidak mudah untuk melepaskan sesuatu yang kita sayang, namun bukankah jika kita lepaskan sesuatu itu kerana ALLAH, maka ALLAH akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik lagi kepada kita suatu masa kelak, mungkin jika tidak berkesempatan merasai kenikmatan itu di dunia maka nantikanlah ganjaran yang lebih hebat nilainya di akhirat kelak, inshaALLAH..
Amiin :)


Dalam suatu hadith Rasulullah SAW, Baginda pernah bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang menutup keaiban saudara sesama muslimnya, kelak ALLAH akan tutup aibnya di akhirat"

Namun begitu, aneh sungguh apabila umat Islam kita kini sudah berani membuka pekung di dada secara terang-terangan tanpa ada lagi rasa malu-malu serta takut akan azab ALLAH di akhirat kelak. Tidak kurang hebatnya makin ramai yang menggayakan "busana muslimah" yang ada kalanya memberi imej yang sebaliknya kepada mata-mata yang memandang. Teringat pula ana pada kata-kata bijak pandai seorang ustaz yang tersohor di tanah air kita iaitu Ustaz Hazrizal Jamil atau nama penanya Saiful Islam di ruang blog nya Saifulislam.com yang berbunyi seperti berikut, "busana MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat ALLAH"


Suatu kenyataan yang tidak dapat dinafikan lagi kesahihannya menurut syariat Islam. Memakai pakaian yang tidak menurut Syariat Islam itu sudah menjadi suatu kesalahan yang nyata, ditambah lagi dengan membuka pekung di dada dengan menontonkan gambar-gambar tersebut di dada-dada laman web itu sudah mengecop satu lagi sumber dosa yang nyata. Teringat pula ana pada suatu video yang pernah ana post di FB ana pada suatu ketika dahulu, perihal dosa 24 jam yang ditanggung oleh setiap orang yang mempamerkan kecantikannya untuk tontonan umum. Setiap detik pabila gambar itu disaksikan oleh mereka yang bukan muhrim bagimu, ia menjadi saham akhiratmu kelak, makin lama ia dipamerkan di situ, makin bertambah-tambahlah saham mu untuk menuju akhirat kelak. Jika saham itu adalah suatu yang membawa kebaikan kepadamu kelak,bersyukrlah kiranya jika setiap detik selagi gambar ataupun video yang di-uploadkan itu memberi manfaat kepada orang lain, maka tiap-tiap detik itu inshaALLAH akan memberikan suatu petanda yang baik untukmu di akhirat kelak. Namun, sekiranya sebaliknya pula, setiap detik gambar-gambar yang kurang sopanmu itu menjadi tontonan lelaki-lelaki bukan muhrim mu, apatah lagi sekiranya gambar itu pula menjadi rangsangan kepada si lelaki untuk melakukan maksiat dan kemungkaran, maka tidak terfikirkah perihal betapa banyaknya dosa yang sedang kamu tanggung hari demi hari yang berlalu.



Berbalik pula pada status yang ditayangkan di ruangan facebook serta gambar berdua-duaan dengan si dia yang bukan mahram denganmu itu, bukankah ia adalah contoh yang jelas lagi nyata bagaimana seseorang sedang menunjuk-nunjuk dosa yang dilakukannya kepada umum?

Jika dibelek pada kitab hadith pula, sedangkan dalam suatu hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dari Abdullah bin Zubair r.a, yang disahihkan pula oleh al-Albani di dalam Irwa' al-Ghalil, ia menyeru supaya merahsiakan perihal pertunangan sebaliknya menghebah-hebahkan perihal perkahwinan. Sedangkan apabila telah mengikat pertunangan juga, ALLAH larang kita menghebah-hebahkannya apakan pula jika hanya baru mula menyemai bibit-bibit cinta terlarang di antara bukan mahram.
Sudah semestinya lebih besar larangannya terhadap sesuatu yang lebih diharamkan ALLAH.

Kenapa masyarakat kita kini masih hanyut dalam dilema cinta sebelum akad nikah ini? Lebih bermegah-megah dengan ikatan cinta terlarang namun apabila telah dihalalkan baginya si isteri itu, sudah tiada lagi kasih sayang serta belai mesra yang ALLAH izinkan di antara mereka. Kenapa? Mungkinkah kerana sudah puas bermadu asrama ketika sedang menyemai cinta terlarang dahulu membuatkan hari-hari mendatang makin tawar rasanya. Nikmat pernikahan yang sungguh indah itu sudah terlalu tawar bagi mereka yang sudah lama merasai manisnya cinta ketika zaman mudanya. Bukankah itu buruk kesudahannya bagimu kelak? Era masa untu bercinta [couple] hanya sekejap, yang selebihnya adalah untuk berkongsi hidup bersama selama-lamanya. Adakah kita lebih suka untuk memilih kebahagiaan yang sementara ataupun cinta selepas kahwin yang kekalnya inshaALLAH akan mekar buat selama-lamanya selagi mana cintanya disandarkan atas dasar yang betul.

Kenapa manusia kini seolah-olah makin tidak percaya serta yakin akan janji-janji ALLAH? Mereka bercinta sebelum kahwin kerana fikirnya jika tidak dimulakan langkah pertama, maka takkan berkahwinlah dirinya sehinggalah ajal menjemputnya. YA!! Segala-galanya perlukan usaha, tapi dalam bab kahwin ini, bukankah ada juga inisiatif lain yang lebih menarik yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat tertentu yang menjanjikan cinta selepas kahwin. Tidak perlulah kita mencari sendiri kerana pencarian sebegitu biasanya hanyalah bersandarkan hawa nafsu semata-mata, sedangkan itulah musuh utama umat Islam dalam usaha mendekatkan diri dengan Ya Rabb..

Kebiasaannya pilihan ibu bapa ataupun pilihan apabila kita bersama-sama di jalan ALLAH lebih manis nikmatnya berbanding cinta di bangku sekolah.
kerana cinta itu inshaALLAH adalah cinta yang bersandarkan rasa cinta kepada ALLAH serta Rasul Nya, dan ia berkahwin seterusnya menyemai cinta bukanlah kerana untuk memenuhi hawa nafsunya semata-mata sebaliknya untuk memenuhi tuntutan agama Islam juga hendaknya


Firman ALLAH yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.”
[Surah Ar-Ruum, ayat ke-21]

Sebelum kita berani untuk mencintai si dia, semailah cinta yang utuh pada Pemilik nya terlebih dahulu kerana cinta Nya adalha lebih agung dan kekal selama-lamanya. Tidak mungkin Dia akan mensia-siakan cinta mu sebaliknya Dia akan Mensyukuri yakni Membalas cintamu dengan sesuatu yang lebih hebat nilainya bagimu.

Sungguh jika engkau mengetahuinya

Maka tidak akan berlakulah sebarang kemungkaran di atas muka bumi ini..
Subhanallah Maha Suci ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Cinta kami akan kami semai dengan lebih utuh bagi Mu
maka
Syukurilah kami dengan limpah kurnia Mu
Sungguh...
hanya Engkau Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk diri ini
Maka
akan aku redhai setiap pemberianMu meskipun ia jelek di mata manusia, namun inshaALLAH hanya redha Mu yang kami cari..

Proud to be strangers~~

Wallahua'lam