Monday 30 August 2010

"Merdeka itu apa?"

Assalamualaikum wbt...


Setelah negara ini telah 53 tahun bebas daripada jajahan oleh kuasa asing yang cemburu melihat keamanan dan kedamaian negara ini, keadaan kembali hiruk-pikuk dek angkara perbuatan jahat yang diwariskan oleh pihak penjajah kepada kita semua. Rata-rata masyarakat masih belum sedar akan kemunculan revolusi dalam permasalahan ini kerana masing-masing telah dibutakan dengan janji-janji manis yang pernah ditaburkan oleh pihak penjajah pada suatu masa dahulu.

Hasilnya, masyarakat kini bukan sahaja buta malah sudah hidupnya mula hanyut dengan mainan duniawi yang cukup melekakan ini. Masyarakat mula mendefinisikan sesuatu dalam bentuk keduniaan semata-mata lantas terus melangkah meninggalkan akhirat di belakang tanpa mereka sedari. Hari ini, soal jawab agama hanya mampu dibincangkan di surau atau masjid-masjid yang mana hanya layak dikupaskan oleh mereka yang bergelar ustaz/ustazah ataupun mufti-mufti hyang diiktiraf semata-mata. Umum mengetahui bahawa peranan ulama' dalam soal agama tidak boleh dicampuradukkan dengan urusan politik yang hanya mampu dikuasai dan dipegang jawatannya oleh mereka yang menang dalam pilihan raya semata-mata. Sudah wujud barrier antara urusan dunia dan urusan akhirat yang mana sekularisme telah mula membius anak-anak muda supaya tidak terlalu yakin dengan kesyumulan Islam itu.

Sungguh malang apabila sesuatu keputusan yang sudah pasti itu perlu dirujuk terlebih dahulu kepada pekenan Raja-raja yang nampaknya lebih berkuasa daripada undang-undang akhirat. Berkenan pula ana pada suatu video yang dihasilkan oleh Baba Ali yang mana ia menjelaskan perihal melihat anak bulan untuk menentukan hari puasa pertama ataupun hari raya pertama. Sesudah melihat anak bulan, ada pula yang bersanggah pendapat yang mengatakan bahawa kita perlu mengikut kalendar hijrah sepertimana yang telah dihintung oleh golongan profesional supaya ada keseragaman mengenai tarikh dan waktu untuk seluruh umat Islam berpuasa/meraikan hari raya tersebut. Keseragaman? Apakah perlu keseragaman itu sesudah anak bulan itu jelas-jelas kelihatan di dada langit meskipun pada kalendar, ia diramalkan akan jelas kelihatan pada hari esoknya? Yang manakah lebih afdhal untuk diikuti? Hukum ALLAH ataupun hukum buatan manusia? Selain itu, apa hak manusia untuk memperkenankan tarikh untuk kesemua itu?

Adakah ini namanya anak-anak merdeka?

Ya betul. Kita perlukan dunia untuk menjadi titian kita ke hari akhirat kelak, namun lupakah kita sekiranya kita terlampau meletakkan dunia di hati, maka hilanglah akhirat di hati itu, punahlah hidupmu. Jika kita mendambakan dunia, maka berolehlah kebahagiaan dunia itu untukmu. Sebaliknya jika kita inginkan kebahagiaan akhirat, inshaALLAH ALLAH akan ganjarkan dunia sebagai hadiah untuk keikhlasanmu itu.


Kenapa perlu dibangga dengan Calvin Klein ataupun Armani Exchange apabila pakaian terakhirmu kelak cumalah kain kafan yang tidak sedikitpun ada jenama-jenama sebegitu. Di situlah keseragaman yang paling nyata bagi setiap umat Islam, di mana orang miskin dan kaya sama-sama menggayakan fesyen yang sama iaitu kain putih yang perfume nya berlabelkan kapur barus yang wanginya akan menemanimu sehingga ke liang lahad.


Apa pula yang ingin dibanggakan dengan BMW dan Caldina GT Four jika kenderaan itu mampu pun untuk dibawa bersama ketika jenazahmu diusung ke tanah perkuburan kelak. Bukankah yang kaya ataupun yang miskin sama-sama akan diusung di dalam keranda yang sama kelak? Bukankah keranda it tidaklah setanding harga ataupun kemewahan kereta-kereta yang pernah anda naiki ketika hidupmu, namun itulah yang pasti bagimu kelak. Itulah sebaik-baik tempat bagimu sebelum jenazahmu dikebumikan kelak. Perlukah lagi manusia berbangga dengan kemewahan duniawi ini sekiranya dunia yang sekejap itu belum pasti lagi akan menjamin kehidupan yang sama di akhirat kelak. Fikir-fikirkanlah kita bersama.


Adakah layak untuk kita semua yang mengakui diri ini sudah merdeka untuk berbangga-bangga apabila sudah mampu memiliki tempat tinggal yang mewah seperti banglo yang nilai-nilainya mencecah berjuta-juta RM sedangkan kesudahannya, umum telah mengetahui bahawa persinggahan terakhirmu adalah di kubur itu juga. Kawasan yang tiadalah semewah kehidupan di duniamu tapi cukup menyamankan bagi mereka yang kehidupan di dunianya cukup mengabdikan diri kepada ALLAH taala, maka di kuburlah sebaik-baik tempat istirehat bagi mereka yang telah penat dan lelah berjuang demi menegakkan Islam ketika masih hidup. Sebaliknya, celakalah bagi mereka yang mempersia-siakan peluang yang ada di dunia ini dengan cara melanggar segala syariat yang telah ALLAH tetapkan untuk kita semua, kerana di kubur itu jugalah akan bermula seksaan yang cukup memeritkan untuk dirimu, nauzubillah



Kenapa perlu dibangga dengan ketampanan serta kecantikan rupa parasmu jika ia sedikitpun tidak menambahkan keimananmu kepada Dia yang Maha Pencipta. Dipertotonkan kecantikanmu dengan bangganya di hadapan mereka yang bukan mahram bagimu, dijadikan pula ia sumber pendapatan bagimu dan keluargamu, sungguh merekalah golongan yang tidak bersyukur. Sungguh bijak pihak penjajah mendoktorinkan pemikiran anal-anak muda sekarang dengan mengatakan fesyen itu adalah sesuatu yang menarik dan wajib diikuti oleh setiap individu dari semasa ke semasa. Sungguh, mereka telah berjaya melalaikan anak-anak muda kita sekarang dengan hiburan yang melampau-lampau sehingga makin ramai golongan artis menjadi idola dalam kehidupan seharian kita. Makin ramai pula mereka yang berani mengeluarkan kata-kata yang berunsurkan sentimen keagamaan yang melampau-lampau tanpa menunjukkan sedikitpun sensitiviti terhadap agama ALLAH yang syumul itu. Rupa yang cantik dihiaskan pula dengan make-up yang tebal sehinggakan ada yang sanggup mengubah bentuk muka serta aset yang ada pada dirimu supaya dirinya disanjung dalam masyarakat. Sungguh, ALLAH berikan kecantikan itu bukanlah untuk dikotori dengan najis-najis yang merendahkan martabat Islam seperti itu. Sungguh, sekiranya mereka faham, maka mereka akan bersungguh-sungguh menyesali perbuatan mereka itu dan bertaubat kepadaNya. Tidak takutkah kita sekiranya ketampanan dan keelokan paras rupa kita di dunia ini akan berakhir dengan menjadi santapan si cacing dan serangga di dalam kubur kelak? Di mana glamour yang telah kita raih di dunia dahulu? Dapatkah sedikitpun ia mengurangkan balasan azab ALLAH di akhirat kelak?

Banyak sungguh peninggalan penjajah kepada umat manusia...
Terlampau banyak sehingga tidak mampu untuk diri ini menghintung satu persatu, malah pada detik ana menulis ini sudah pasti, akan ada suntikan-suntikan negative yang sedang mereka biuskan untuk menjatuhkan umat Islam. Sedarlah ar-rijal, mereka tidak pernah berhenti menjajah kita, samada secara sedar ataupun tidak. Kini, pemikiran kita sudah teruk dijajah sehinggakan ada yang berani mengisytiharkan dirinya melakukan kemungkaran secara jelas dan terang-terangan pada umum namun tiada sebarang tindak balas daripada pihak pemerintah.
Kenapa perlu dihairan apabila makin banyak kes buang bayi jika masih banyak kelab malam yang dibuka pada setiap malam, makin banyak pusat-pusat yang dibuka untuk menjaga kebajikan pelaku-pelaku maksiat itu, sungguh, manusia yang baik itu bukanlah orang yang tidak pernah melakukan dosa tetapi mereka segera bertaubat sesudah melakukan perbuatan yang berdosa itu. Makin banyak kes-kes jenayah berlaku, makin ramai yang berani membunuh orang lain serta secara terang-terangan melakukan gangguan seksual dengan ahli keluarga sendiri sedangkan ini kononnya adalah sebuah negara Islam. Di manakah undang-undang Islam sepertimana yang pernah dilaksanakan ketika zaman pemerintahan Rasulullah SAW serta zaman-zaman kegemilangan Islam selepas Baginda? Bukankah ada banyak rangka undang-undang yang telah ALLAH gariskan sebagai pendoman hidup ini? Kenapa masih ingin diikut rang undang-undang ciptaan manusia yang hukumannya berubah-ubah mengikut kesesuaian masa, tempat malah tidak statik mengikut status pelakunya. Adakah itu adil di sisi ALLAH?

53 tahun negara merdeka..
hadiahnya makin ramai yang menghadiahkan kepada negara ini bayi luar nikah yang dibuang merata-rata. Sungguh bebas dan merdeka pemikiran anak-anak muda masa kini sehingga sanggup memerdekan diri daripada pegangan akidah yang kukuh kepada Nya. Adakah itu bebas yang kita cari selama ini?
Bebas untuk berbuat apa sahaja mengikut kepuasaan hati serta hawa nafsu yang membuak-buak seperti binatang malah ada yang lebih teruk daripada itu

Sungguh menarik fenomena ini..
Apabila hari merdeka disanjung-sanjung, pesta keramaian diadakan di mana-mana sahaja meskipun di bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan ini.
Bayangkan sahajalah bagaimana bilangan jemaah di masjid-masjid akan menyusut pada malam menjelangnya hari merdeka ini
Akan berpestalah anak-anak muda bagi meraikan kemerdekaan 1 Malaysia yang dinanti-nantikannya selama ini. Tahukah anda, malam menjelangnya Merdeka, kebiasaanya akan makin bertambah bilangan pasangan yang melakukan seks rambang dengan pasangan yang sudah pasti belum halal baginya. Oleh itu, bersedialah wahai sahabat-sahabatku untuk menanti kelahiran lebih ramai bayi-bayi yang tidak berdosa 9bulan mendatang. Makin ramailah bilangan bayi yang akan menjadi santapan semut-semut merah apabila ia dibuang tanpa sebarang belas kasihan di dalam longkang-longkang, dalam tong sampah, di sebalik seman samun dan sebagainya.

Adakah ini erti kemerdekaan yang kita impikan selama ini?
Adakah ini yang didambakan oleh para perajurit yang bermati-matian melawan pihak penjajah suatu masa dahulu


Wallahua'lam

Sekadar mencetuskan rasa untuk diri ini dan sahabat-sahabat sekalian, bukanlah layak bagi diri ini untuk menyuntikkan perasaan-perasaan negative terhadap segala sesuatupun. Sekadar ingin menyedarkan kita semua dengan realiti ummah yang sedang tenat sekarang.
Mereka perlukan generasi muda seperti kita untuk mengubahnya ataupun keadaan yang lebih teruk akan melanda diri mereka, Nauzubillah
Bagi yang sudah sedar akan realiti ummah masa kini, ana ingin minta maaf, kerana sekarang ana dan kalian semua tidak boleh lari lagi daripada tanggungjawab merubah realiti ummah itu kepada sesuatu yang lebih baik kerana ingatlah bahawasanya ALLAH hanya akan menghukum mereka yang telah mendapat kefahaman dalam ad-Deen
Maka berbahagialah kita kerana ALLAH telah memilih kita untuk sedar akan realiti ummah ini dan bekerjasama dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam seperti suatu masa dahulu.
Contohilah rijal-rijal yang hidupnya diabdikan semata-mata untuk ALLAH seperti Sallehuddin al-Ayubi, Muaz bin Jabbar, Salman al-Farisi, Sultan Muhammad al-Fateh dan ramai lagi

InshaALLAH :)

Sesuatu yang ingin diubah itu sudah pasti memerlukan masa yang agak panjang untuk kita berjaya mengubahnya kepada sesuatu yang lain, namun inshaALLAH setiap detik yang kita berikan untuk menolong jalan ALLAH itu sungguh besar nilainya di sisi ALLAH jika kita betul-betul ikhlas untuk Nya. Namun, janganlah bersedih hati sekiranya usaha kita masih belum menemui kejayaan, setiap sesuatu yang baik itu sudah pasti akan ada pihak-pihak yang tidak menyenanginya dan cuba untuk menghalangi usaha murnimu itu, tapi bersyukurlah kita apbila adanya ujian-ujian sebegitu, kerana itulah petanda bahawasanya kita sedang melakukan sesuatu yang betul. Sudah menjadi kelaziman bahawasanya kebaikan yang kita lakukan akan ditentang oleh pihak-pihak yang tidak senang melihat progress kita itu, namun yakinlah akan pertolongan dan janji-janji ALLAH. Kita berusaha keras hari ini supaya kita dapat beristirehat dengan selesa ketika di alam kubur kelak inshaALLAH.


" Ya ALLAH sesungguhnya aku berlindung dengan Mu daripada azab neraka jahanam, azab kubur, serta dari fitnah semasa hidup dan selepas mati dan dari fitanah Dajjal yang jahat dan membawa kesesatan"
amiin :)


Sudah jelas perbezaan antara syurga dan neraka, baik dan jahat, maka terserahlah pada kita untuk memilihnya..

Wallahua'lam

Wassalam


p/s: SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA YANG KE 53
hayatilah kemerdekaan pada kali ini dengan penghayatan yang sebenar-benarnya kerana setiap amal perbuatan kita dihintung berdasarkan niat kita, oleh itu ayuh kita improvasikan niat dan bangkitkan ia dalam bentuk amal perbuatan supaya kemerdekaan pada tahun ini lebih bermakna..

Hayati 1 Malaysia yang dilaungkan oleh PM kita itu dengan lebih betul pemahamannya supaya kelak kita dapat menyatukan ummah untuk kegemilangan umat Islam jua hendaknya, InshaALLAH
Usah biarkan laungan itu hanya menjadi suatu laungan kosong semata-mata ayuh kita ubah paradigma kita supaya dapat melihat sesuatu yang lebih baik untuk kebangkitan Islam yang akan kekal abadi selepas ini
Binalah Islam dalam dirimu maka akan terpancarlah ia daripada keperibadianmu, inshaALLAH moga-moga dengan anjakan paradigma yang betul, akan berjaya membina satu revolusi baru dalam perjalanan kita sebagai seorang muslim yang berjaya inshaALLAH
Bukanlah layak untuk kita menghentam usaha mana-mana pihak dalam mengembalikan syariat Islam yang pernah memimpin 1 dunia ini sebelum ini, baikilah diri sendiri terlebih dahulu sebelum memandai-mandai cuba untuk menghentam mana-mana pihak. Setiap orang sedang melakukan tugas mereka masing-masing, oleh itu sungguh bertuah jika ALLAH pilih kita pada hari ini untuk memulakan tugas kita ke arah pembangunan Islam itu kembali. InshaALLAH
:)

Selamat Hari Merdeka :D


Cinta pada negara itu perlu, tapi pernahkah kita sedar jika kita betul-betul cintakan Islam itu sendiri, negara dan tanah air itu adalah sebahagian daripadanya. Bukanlah semangat patriotisme dan nasionalisme yang ingin kita cari tapi semangat cintakan kegemilangan Islam yang syumul itu yang hendak kita cari dan sentiasa praktikkan.

Islam itu adalah daulah dan tanah air, ataupun kerajaan dan ummah
Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan
Ia adalah pengetahuan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman
Ia adalah kebendaan dan harta ataupun usaha dan kekayaan
Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah
Ia juga adalah akidah yang benar dan ibadah yang sahih
-Dasar 1 dalam Usul 20-

Itulah Islam yang sebenarnya, syamil, kamil dan mutakamil


Wallahua'lam

:D