Thursday 12 August 2010

DOA MUSTAJAB ATAUPUN TERHIJAB??


assalamualaikum wbt...

“Dan Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (panggilan/perintah)Ku, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk (bimbingan)”.
[Al-Baqarah: 186]


DOA MUSTAJAB ATAUPUN TERHIJAB??

"Berdoalah kepada Ku nescaya Aku akan Perkenankan"
[40:60]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
"Sesungguhnya Tuhan mu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu pemalu lagi mulia. Dia Malu terhadap hamba-hamba Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi oleh Nya akan permintaan itu"
[riwayat at-Tarmizi no 3556 dan Abu Daud no 1448]

Terdapat suatu syair yang indah karangannya yang menerangkan betapa hebatnya sifat Pemurah dan Pengasih ALLAH; seperti berikut:
"ALLAH SWT Murka jika engkau tidak memohon kepada Nya
sebaliknya manusia murka apabila
engkau sering minta daripada Nya"

Yakinlah bahawa apabila ALLAH Mengilhamkan kepada hati kita ini untuk berdoa, maka semestinya ALLAH akan Memperkenankan doa kita itu. Mudah-mudahan dengan mengingati konsep ini, kita akan lebih terdorong untuk sentiasa berdoa kepada-Nya kerana keyakinan kita yang mendalam kepada ALLAH bahawa Dia Maha Berkuasa untuk memakbulkan segala permohonan hamba-hamba Nya itu adalah sangat perlu dalam diri setiap manusia..

"Aku akan mengikuti persangkaan mengikuti persangkaan hambaKu kepadaKu. Dan Aku selalu menyertainya apabila ia berdoa kepada Ku"
[riwayat Bukhari dan Muslim]

Sesungguhnya bersyukurlah kita apabila ALLAH Menggerakkan hati serta lidah kita untuk mengingati ALLAH lantas berdoa kepada Nya kerana bukanlah semua orang ALLAH Permudahkan baginya untuk berdoa kepada ALLAH. Ada yang dikelukan lidahnya daripada berdoa kepada Nya sekiranya ALLAH Menginginkannya untuk diperlakukan sedemikian. Oleh itu, sedarlah bahawasanya doa itu sendiri adalah kurnia yang teramat besar daripada ALLAH kepada kita semua. Malah doa itu merupakan suatu modal asas yang dapat memungkinkan seseorang itu untuk menerima kurnia-kurnia ALLAH yang lain pada masa yang akan datang.

Hanya berbekalkan taufiq dan hidayah daripada Nya sahajalah, hati dan lidah seseorang itu diizinkan serta dilembutkan untuk berdoa, yakni apabila seseorang itu sudah mula merasakan kefakirannya di hadapan ALLAH, apabila sudah kembalinya kebergantungan sepenuhnya kepada ALLAH swt.
Maka, yakinlah pada saat dan ketika itu, apabila kita benar-benar berhajat kepada Nya, maka ALLAH pasti tidak akan mengecewakan hajat kita tersebut. Tapi, ingatlah bahawa cara ALLAH memakbulkan doa kita tersebut adalah pelbagai dan bukanlah menjadi hak kita untuk meminta-minta supaya doa kita dimakbulkan serta-merta. Jika kita berbuat sedemikian, tiada bezalah kita seperti sedang mengarah-arahkan ALLAH untuk melakukan sesuatu yang kita sukai sedangkan tiada sedikitpun bagi kita hak untuk melakukan yang sedemikian..

" Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa, dan menghilangkan keburukan dan menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah ada di samping ALLAH, tuhan (yang lain)? Terlalu sedikit kamu mengingati Nya?"
[surah al-Naml 27:62]

Hamba ALLAH yang benar-benar meletakkan kebergantungan hidupnya kepada ALLAH serta mengenal Sang Pencipta yang Maha Esa [arif billah] bakal merasakan bahawa betapa hebatnya nikmat yang ALLAH telah kurniakan kepadanya kerana hati dan lidahnya telah dilembutkan ALLAH untuk berdoa kepadaNya lantas ia akan sedar bahawa peluang untuk berdoa itu jauh lebih berharga daripada termakbulnya doa yang telah dipohonkannya kepada ALLAH.

Ada juga yang menafikan kenyataan bahawa ALLAH akan sentiasa Memakbulkan doa hamba-hamba Nya serta tidak akan sesekali ALLAH Mengecewakan permintaan hamba-hambaNya itu. Ada yang seolah-olah mengunjing-unjing kepada Kebesaran ALLAH taktala permintaannya lambat dimakbulkan ataupun langsung tidak dimakbulkan. Apakah penerangan untuk situasi ini?

Dalam hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud;
"Sesiapa di antara kamu yang dibukakan hatinya supaya berdoa, nescaya ALLAH bukakan padanya pintu-pintu rahmat. Dan tidak ada doa yang dipohon itu lebih disukai ALLAH selain daripada memohon kemaafan (keselamatan di dunia dan di akhirat)"
[riwayat at-Tarmizi no 3548]


Oleh itu, berdoalah dalam keadaan yang berhikmah sebagaimana ALLAH Melayan mu dengan berhemah taktala kamu melakukan kesalahan lantas kamu segera memohon maaf kepada Nya, tiada sedikitpun ALLAH 'berdendam' kepada hamba-hamba Nya.
Oleh itu, wajarlah kiranya bagi setiap individu muslim untuk tidak berdoa dalam keadaan terlalu dan mendesak ALLAH (ingat siapa Big Boss dalam kes ini, seorang hamba tiada sedikitpun memiliki apa-apa hak untuk memaksa-maksa 'tuannya' untuk memakbulkan permintaannya apatah lagi merungut-rungut apabila permintaannya lambat dimakbulkan)
Seorang hamba yang baik, di dalam hatinya sentiasa tertanam suatu keyakiunan bahawa nikmat ALLAH yang telah diperoleh adalah jauh lebih banyak dan lebih bernilai daripada apa yang pernah kita pohonkan daripada Nya.

Sungguh, cara ALLAH Memakbulkan permintaan kita itu ada variasinya, ada yang kita pinta, terus dapat (express sahaja ALLAH Makbulkan doanya), ada juga yang lambat sedikit ALLAH Makbulkan, ada pula yang penat berdoa tapi tak kunjung sudah, doa itu tak dimakbulkan ALLAH jua hendakNya..
Apakah logiknya di sebalik senario-senarion tersebut?
Ikuti kupasan selanjutnya dalam entry seterusnya inshaALLAH

Wallahua'lam

:)