Thursday 12 August 2010

AKTIFKAN DIRIMU DENGAN DOA

assalamualaikum wbt...

Pernahkah kita bertanya kepada diri kita sendiri, adakah kita benar-benar bersyukur atas setiap kurniaan ALLAH sehinggakan setiap perbuatan kita mendorong kepada setiap perlakuan yang mendekatkan diri kepada ar-Rabb yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa?
Jika direnungkan kembali, meskipun hanya satu molekul gas yang meresap masuk ke dalam badan kita, ia adalah suatu nikmat yang teramat besar daripada Nya, apatah lagi sekiranya nikmat yang lahiriahnya tampak amat besar seperti beroleh kejayaan dalam kehidupan seharian, FUHH alangkah besarnya nikmat ALLAH kepada kita semua, tiada suatu apa pun yang dapat menandingi ihsan ALLAH kepada kita.


Apa yang telah ALLAH Berikan kepada kita semua ternyata lebih banyak nikmatnya daripada apa yang kita pinta.
Kerap kali kita meminta untuk dikurniakan ALLAH kemudahan serta kesenangan hidup tapi ALLAH Mengurniakan kesusahan serta ujian yang pelbagai sebelum ALLAH Menghadiahkan kepada kita kejayaan yang terlalu besar nilainya di sisi ALLAH sekiranya kita berjaya dalam menempuh ujian yang ALLAH berikan kepada kita itu.

Kadangkala ada yang berduka dan merungut apabila ALLAH Kurniakan kepada kita ujian yang pelbagai, namun kerap kali kita terlupa bahawa itulah antara cara ALLAH ingin meningkatkan status kita kepada level yang lebih tinggi di sisi Nya.
Namun, alangkah bahagianya jika kita bersikap lebih berhikmah dan bersabar dalam mengharungi segala dugaan tersebut mudah-mudahan kejayaan yang akan diperoleh kelak lebih hebat nilainya, inshaALLAH :D


Hadith Kudsi:
" Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; "Tuhan kita turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir dan berfirman, 'Sesiapa yang BERDOA kepada Ku maka Aku akan Memenuhinya, sesiapa yang Memohon kepada Ku, Aku akan Memenuhinya, sesiapa yang meminta ampun, maka Aku Mengampuninya"
[Riwayat al-Bukhari no 1094, Muslim no 1808, Abu Daud no 131 7 dan lain-lain]

AKTIFKAN DIRIMU DENGAN DOA

Tuntutan berdoa itu adalah suatu yang sudah jelas dan nyata bagi mereka yang faham; namun, perlulah sentiasa diingat dalam kotak fikiran bahawasanya, tujuan kita berdoa bukanlah untuk memberitahu ALLAH mengenai sesuatu yang kita pinta; yakinlah di dalam hati kita bahawasanya Pengetahuan ALLAH itu meliputi segala apa yang ada di bumi dan di langit serta tiada suatu apa pun yang tersembunyi daripada Pengetahuan Nya itu. Hakikatnya, meskipun kita tidak mengambil initiative untuk 'memberitahuNya' menerusi doa tersebut.


Oleh itu, tahukah kita, apakah tujuan sebenar kita berdoa? Apakah keperluan untuk kita berdoa kepada Nya?

Berdoa adalah suatu bentuk pengabdian kita kepada Ilahi. Menerusi doa, kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan, dan lain-lain sifat kehambaan yang ada pada diri setiap insan yang bergelar hamba ALLAH ini. Bukankah salah satu daripada tujuan penghidupan kita adalah sebagai seorang abid yang sentiasa menghambakan diri kepada ALLAH?
:D

Apabila diri kita menyedari hakikat kejadian diri sebagai seorang abid, tiada suatu pun yang lebih berharga di mata kita selain untuk meng-impress ALLAH kerana tiada suatu pun yang kita lebih perlukan dalam kehidupan ini melebihi perlunya kita kepada ALLAH. Oleh sebab itulah, sebagai seorang abid yang taat kepada 'Tuan nya' perlulah kita sentiasa memuliakan ALLAH dalam setiap detik kehidupan kita selagi nyawa dikandung badan.

ALLAH menerusi firmanNya yang bermaksud "Berdoalah kepada Ku nescaya Aku akan Perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menymobongkan diri daripada menyembahKu akan masuk neraka jahanam dalam keadaan yang hina"
[40:60]

Orang yang enggan untuk berdoa kepada Nya tergolong dalam golongan mereka yang sombong kepada Nya, lantas meletakkannya dalam golongan yang diumpamakan sebagai tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, jahil, hina, dan miskin itu. Golongan manusia sebegini merasakan dirinya seolah-olah ia merupakan seorang yang gagah, kaya, mulia, dan tidak memerlukan pertolongan ALLAH dalam apa-apa jua urusan kehidupannya.
Nauzubillah..

Prinsip inilah yang dipegang dan diamalkan oleh orang-orang yang hampir dengan ALLAH termasuklah para Rasul, nabi dan secara umumnya salafus-soleh pada zaman dahulu yang membudayakan doa dalam setiap fasa kehidupan mereka. Mereka adalah golongan yang sedar bahawa dalam setiap detik kehidupan mereka, mereka adalah hamba ALLAH yang perlu sentiasa mengekalkan hubungan yang baik dengan Nya; salah satu cara untuk berhubung dengan Nya adalah menerusi doa, lantas mereka memperbanyak doa kepada Nya supaya mereka terpelihara daripada dipesongkan hati mereka daripada sentiasa mengingati ALLAH yang Maha Berkuasa

Doa adalah cara hidup yang menjadi tradisi orang soleh. Seawal daripada bangkitnya tidur, membersihkan diri, masuk tandas, keluar tandas, setiap perlakuannya diikuti dan disulami dengan doa-doa khas untuk meningkatkan taqwa nya kepada ALLAH. Tiada suatu pun yang dilaksanakannya dalam keadaan leka akan dunia dan melupakan ALLAH..Subhanallah sungguh unik sibghah-Nya; setiap sesuatu yang ingin dikerjakan ada doa yang khusus untuk nya. Betapa pentingnya doa sehinggakan ALLAH sentiasa mengingatkan kita semua untuk sentiasa berdoa kepada Nya, subhanallah, moga-moga kita tidaklah tergolong dalam golongan yang sombong kepada Nya yang telah ALLAH janjikan azab api neraka jahanam kepadanya di akhirat kelak..nauzubillah

Wallahua'lam

:)