Sunday 29 August 2010

Dia Bukan Untukku :)

Assalamualaikum wbt...

Kerap kali dunia digemparkan dengan kes-kes pergaduhan dalam rumah tangga sehinggakan ia menjadi titik tolak kepada terjadinya sesuatu kes jenayah yang lebih merumitkan dan memeningkan kepala. Jika dilihat rentetan dalam dunia artis pula, kes nikah cerai sudah menjadi suatu kelaziman yang terlalu normal dalam kehidupan seorang yang bergelar selebriti malah ia sudah seakan-akan menjadi trend dalam kehidupan seharian mereka.


Kenapa fenomena ini berlanjutan dalam dunia yang penuh kemodenan ini? Tiadakah sebarang penawar dalam permasalahan ini yang boleh dijadikan sebagai bius untuk kesakitan yang sedang melanda dunia waktu kini. Permasalahan sebegini telah lama menyerang umat manusia pada hari ini,namun kita kerap kali menjadikan isu ini sebagai sisipan kepada isu-isu lain yang kononnya lebih penting dan sensasi.

Kenapa perlu ada penceraian setelah adanya ijab kabul? Kenapa pula yang telah berkahwin lebih 20 tahun masih lagi ada persengketaan sehinggakan membawa kepada bibit-bibit penceraian? Bukankah si dia yang kam cintai ketika usia mudamu? Bukankah si dia yang engkau usung ke sana ke mari ketika sebelum ijab kabul mu? Bukankah kamu berdua telah bersumpah sehidup semati bersama-sama? Kenapa setelah kamu telah mengikat suatu ikatan yang sah, kamu memilih jalan yang ALLAH Murkai yakni memutuskan kembali jalinan yang telah engkau meterai dahulu? Engkau gegarkan Arasy-Nya dengan kalimah talaqmu ke atas isterimu, kenapa engkau tegar melakukan yang sedemikian rupa?

Adakah benar ia bukan untukmu?

Namun demikian, bukankah cintamu dahulu hanya untuknya? Kenapa kini, perlu ada alasan-alasan lain yang menjadi pemusnah cinta kalian?

Persoalan demi persoalan akan bangkit apabila permasalahan sebegini berlaku. Kedua-dua belah pihak akan mula menyalahkan antara satu sama lain, sangat sukar untuk melihat satu-satu pihak menyalahkan diri sendiri serta cuba untuk memperbetulkan keadaan tanpa perlu menghebah-hebahkan cerita di sebalik tirai perkahwinan mereka kepada umum termasuklah ahli keluarga. Bukankah rahsia pernikahanmu itu hanya milik dirimu dan si dia, kenapa pula perlu dipertontonkan kepada orang lain?
Ingat...ia hanya milik kamu berdua...
ALLAH sangat Membenci mereka yang membuka keaiban orang lain.
Nauzubillah

Rata-rata orang suka mengaitkan cinta dengan sepasang kekasih yang masih belum berkahwin, tapi ana lagi suka untuk mengaitkan kisah seterusnya ini dalam konteks mereka yang sudah berkahwin. Mungkin hati ini berasa terlalu sakit apabila wanita idaman kita menjadi rebutan lelaki kacak yang lain ataupun sebaliknya, namun sedarlah wahai sahabatku sekalian, amarahmu ketika itu tiada membawa erti apa-apapun kerana kamu sedikitpun tidak layak untuk merasakan perasaan marah itu selagi kamu belum menikahinya, Perasaan cemburu seorang 'kekasih' itu hanya dihalalkan setelah kamu mengikat si dia dengan suatu ikatan yang disertakan dengan ijab dan qabul. Namun, sedarkah kita semua bahawasanya perasaan cemburu itu bukanlah sifat yang perlu ada pada si isteri namun sebaliknya ia sifat natural yang perlu ada pada diri si suami yang perlu ada walau sedikitpun rasa cemburu apabila melihatkan isterinya dinodai cinta dunia yang penuh dengan kepalsuan ini.
Bukanlah layak untuk seorang wanita untuk mencemburui si suami kerana perasaan itu bukanlah diciptakan untuk dirimu, tetapi ingatlah si suami, jangan pula kamu merasakan dirimu seolah-olah raja sehingga dapat memperlakukan isterimu dengan cara yang buruk kerana setiap perbuatan kita kelak akan dipertanggungjawabkan ALLAH kelak.

Memang payah rasanya apabila melihat rumah tangga yang kita bina selama ini roboh begitu sahaja apabila sudah tiada kesefahaman ataupun masalah-masalah lain yang terbit akibat kurangnya komunikasi yang bijak antara kedua-dua pasangan. Pada ketika itu, mereka akan mula merasakan si dia bukanlah jodoh sebenar untuk dirinya, lantas berlakulah suatu peristiwa yang dikenali sebagai jatuh talak ataupun penceraian.
Memang payah untuk melalui jerih payah kehidupan bergelar janda/ibu tunggal, begitu juga bagi si duda yang terpaksa mulakan hidup baru bersendirian ataupun terpaksa menyara anak-anak tanpa kehadiran si dia sebagai penemannya. Memang ia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam keadaan sebegitu, namun tahukah kita bahawasanya, kehilangan si dia bukanlah bererti hidupmu telah musnah ataupun ALLAH sudah tidak lagi bersamamu. Yakinlah bahawa setiap apa yang ALLAH Kurniakan kepada kita sudah pasti ada kebaikan tersembunyi di sebaliknya, redha lah dengan setiap apa yang ALLAH Kurniakan kepada kita semua, syukurilah pemberian Nya, terimalah dengan hati yang terbuka dan ukirlah senyuman di bibirmu meskipun ia amat payah. Sungguh jika kita bersangka baik kepada ALLAH, maka Dia akan bersangka baik dan Mensyukuri mu dengan mengurniakan rahmah yang berlimpah-limpah kepadamu, InshaALLAH

Memang sengaja ALLAH Menurunkan ujian sebegitu terhadapmu kerana ALLAH tahu kamu mampu mengatasi segala jerih payah itu dengan jayanya. Bukankah Dia adalah sebaik-baik Perancang dalam kehidupan ini,Dia datangkan sesuatu yang kita sangkakan keburukan kepada kita, namun itu sebenarnya adalah pintu kepada 1001 kebaikan yang teramat menarik jika kita benar-benar yakin akan janji ALLAH itu. Bukankah dalam surah al-Mudatsir ayat 7 ALLAH pernah berfirman yang bermaksud "Dan kerana Tuhan mu, bersabarlah"


ALLAH ingin menyedarkan kita akan sesuatu kesalahan itu dengan cara yang pelbagai, ada yang menyedari ketidakserasian itu sejak sebelum kahwin lagi, oleh itu perpisahan terjadi lantas ALLAH Menggantikan baginya pasangan yang jauh lebih baik dan tinggi statusnya di sisi ALLAH atas sebab ia sabar menghadapi dugaan itu. Rasa bersyukur setelah mendapat ganti yang lebih baik itu lebih manis nilainya bagi ALLAH daripada kesusahan yang perlu dilalui sekiranya ALLAH Mengizinkan kamu bersama-sama si dia yang tidak layak untuk memilikimu. Alangkah Penyayang nya ALLAH pada kamu, Dia tidak ingin membiarkan hamba Nya berduka akibat tersalah pilih, lantas Dia Menghadiahkan pasangan yang secocok bagimu setelah permulaan yang payah bagimu.
Dia pertemukan dirimu dengan orang yang salah bukan untuk menzalimi mu tapi lupakah kamu, dunia ini, mati dan hidup adalah ujian bagimu untuk menguji siapa di antaramu yang lebih baik amal kebajikannya. Sekiranya manusia tahu, sudah pasti mereka akan bersyukur setiap kali ALLAH Menimpakannya sesuatu yang kurang elok pada penglihatan kasarnya. Subhanallah. Bukankah Dia Menguji hamba-hamba Nya kerana kasih sayang Nya yang melimpah ruah kepada mereka :)

ALLAH juga sengaja menemukan kita dengan sesuatu yang bukan ditakdirkan untuk kita semata-mata sebagai suatu latihan supaya kita dapat menjadi seorang penilai yang lebih baik pada masa akan datang. Nilailah sesuat dengan menggunakan neraca iman dan Islam bukanlah menggunakan neraca nafsu kerana nafsu itu ibarat air laut yang bila mana diteguk ia bukannya dapat menghilangkan dahaga malah sebaliknya ia menjadikan tekak berasa lebih haus. Sesuatu yang dinilai dengan menggunakan hawa nafsu sebagai neracanya sudah semestinya akan menemui kegagalan jua akhirnya; oleh sebab itulah, sekiranya ALLAH Letakkan titik noktah pada sesuatu hubungan ataupun sesuatu yang kamu miliki, katakanlah Alhamdulillah; mungkin juga itu adalah peringatan ALLAH kepada diri kita bahawanya kita telah melakukan sesuatu kesalahan dalam usaha memilikinya. Oleh itu, sentiasalah memperbaharui taubat dan improvasikan niat masing-masing supaya setiap amal perbuatan kita dinilai baik pada sisi ALLAH


Sedarkah kita semua, setiap kali kita kehilangan sesuatu daripada tangan kita sesudah kita berjaya memilikinya, kita akan berasa sangat patah hati dan berduka lara. Pada saat itulah kita paling dekat dengan ALLAH, pada waktu itulah kita akan lebih kerap sujud di tikar sejadah memohon pertolongan Nya. Maka, betullah di sebalik kesulitan itu sudah pasti ada kesenangan yang menanti diri ini. Bukankah ALLAH telah berjanji kepada umat manusia bahawasanya ALLAH akan sentiasa memakbulkan doa hamba-hamba Nya yang ikhlas serta bersungguh-sungguh memohon kepada Nya? Maka berbahagialah kiranya apabila kita sentiasa dilanda sesuatu musibah kerana musibah itu sebenarnya hadiah terbesar ALLAH bagimu, kerana itulah peluang yang ALLAH berikan kepadamu untuk dekatkan dirimu kepada Nya. Sedarlah bahawa kita hanya insan kerdil yang tidak mampu berbuat apa-apa pun tanpa pertolongan dari Nya.


Cinta yang hancur punah-ranah serta hati yang kononnya hancur berkecai akibat cinta yang tak kesampaian; itulah anugerah ALLAH untuk kita lebih menghargai erti cinta yang sebenar. Bukankah itu semua berupa peringatan ALLAH kepada kita? ALLAH sentiasa sayang akan hamba-hamba Nya oleh itu Dia cuba Mengembalikan kita sesudah kita hanyut dan jauhkan diri daripada jalan yang Dia pilih untuk umat manusia; jalan yang pernah dilalui oleh Rasul-Rasul ALLAH pada suatu masa dahulu yang telah Dia warisi kepadamu pada hari ini. Punahnya satu hubungan dengan si dia adalah untuk menghubungkan cinta di antara dirim dengan Pemilik hatimu yang selama ini sentiasa sedia menanti kepulangan hatimu yang telah kamu curangi sehingga sanggup kamu kotori dengan cinta palsu yang penuh dengan kehinaan duniawi yang melalaikan. Kenapa sanggup diberikan hati itu kepada si dia yang tidak layak sedangkan kamu tidak pernah meletakkan ALLAH dan Rasul-rasul Nya sebagai yang utama di hatimu terlebih dahulu. Hubungkanlah terlebih dahulu hatimu dengan Pemilik hati tersebut maka yakinlah bahawa ALLAH akan Memudahkan bagimu segala urusan-urusan mendatang. Hatimu akan ALLAH Serahkan kepada si dia yang sama-sama menjaga hatinya yang jauh lebih layak untuk memiliki hatimu yang tulus itu inshaALLAH



Bukankah kesemua ini menunjukkan betapa Pemurah serta Penyayang nya ALLAH terhadap hamba-hamba Nya, Dia sentiasa ada untuk hamba-hamba Nya sehingga urusan hati pun ALLAH titik beratkan sehingga tiada seorang pun terlepas daripada pandangan Nya. Sekiranya ibu bapa sangat bimbang akan urusan jodoh si anak-anak mereka, apatah lagi ALLAH yang Maha Memiliki ini, segala-galanya yang ada di langit dan bumi serta di antara kedua-duanya ini adalah milik Nya, oleh itu, seharusnyalah Dia berasa bimbang sekiranya kita memilih sesuatu yang bukan milik kita.


Teringat pula ana pada kisah Ummu Sulaim binti Milhan yakni pemilik mahar yang paling indah dalam lipatan sejarah suatu masa dahulu. ALLAH memberikannya nikmat Iman dan Islam yang sungguh manis bagi si dia yang dijanjikan syurga oleh ALLAH seperti yang telah diriwayatkan oleh Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Aku masuk ke syurga lalu terdengar suatu suara di hadapanku. Ternyata beliau ialah al-Ghumaisha' bintu Milhan" hadith riwayat Bukhari

Pada awal kisah Ummu Sulaim ini,sebelum keislamannya, beliau adalah permaisuri bagi rumah tangga yang dinakhodai oleh Malik bin an-Nadhar. Hasil penikahan tersebut, mereka dianugerahkan ALLAH seorang putera yang baik budi pekertinya iaitu Anas bin Malik,seorang periwayat hadith sohih yang tersohor sehingga ke hari ini. Sejak hari pertama memeluk Islam, Ummu Sulaim telah menyajikan keteguhan peribadi yang sungguh menkagumkan dan layak dijadikan ikutan umat kemudiannya. Pada ketika beliau melafazkan kalimah syahadah dan berbaiah untuk memeluk Islam, suaminya yang pada ketika itu masih belum memeluk agama Islam berada di luar Madinah.

Sejurus selepas pengislaman Ummu Sulaim, suaminya yang masih musyrik itu kembali seraya memarahi beliau dan mengatakan bahawa Ummu Sulaim telah murtad daripada agama asalnya pada ketika itu. Ummu Sulaim bermati-matian meneguhkan pendiriannya mengenai pengislamannya seraya memimpin tangan anaknya, Anas lalu mengisyaratkan supaya Anas turut sama melafazkan kalimah dua syahadah itu, maka dituruti oleh puteranya tersebut. Malik bin an Nadhar berasa sangat marah melihat perbuatan isteri serta anak kesayangannya itu lantas memulakan perjalanan ke Syam, tetapi pemergian itu menjanjikan suatu noktah dalam hubungan kekeluargaan itu apabila beliau mati dibunuh oleh musuhnya dalam perjalanannya itu


Penikahan yang di antaranya muncul suatu perbezaan yang amat besar yakni perbezaan agama da kefahaman. Si isteri telah ALLAH pilih untuk diberikan kefahaman dalam Islam serta keyakinan tauhid yang sebenar-benarnya lagi utuh kepada Tuhan yang Maha Esa, sebaliknya si suami masih lagi belum mendapat kefahaman yang sehebat si isteri. ALLAH mematikan si suami dalam keadaan si suami masih lagi belum faham akan agama yang dianuti oleh si isteri dan anaknya. Namun, kedua-duanya redha dengan pemergian tersebut kerana mereka faham ajal maut dan jodoh pertemua semuanya telah ALLAH tentukan sejak azali lagi

Berkat kesabaran mereka, ALLAH Kurniakan pula bagi mereka kebaikan yang melimpah-ruah. Anas pada mulanya telah dibanjiri dengan kecintaan kepada Rasulullah SAW yang penuh mendalam hasil didikan Ummu Sulaim sendiri. Setelah Baginda tiba di Madinah, Ummu Sulaim mendatangi Rasulullah SAW dan meminta Rasulullah mendidik dan mendoakan kebaikan untuk puteranya itu. Hasilnya, Anas berjaya mendapat bimbingan serta asuhan di rumah Rasulullah yang kemudian meletakkan Anas bin Malik sebagai salah seorang sahabat yang terkemuka di kalangan para sahabat Rasulullah yang lain.

Penikahan kali pertama yang gagal menemui kebahagiaan yang optimum akibat keengganan si suami daripada mengikuti ajaran Islam yang sebenar-benarnya bukanlah suatu titik noktah dalam kehidupan seorang yang teguh imannya seperti Ummu Sulaim ini. Akhirnya ALLAH kurniakan baginya seorang lelaki yang ingin melamarnya sebagai seorang isteri, namun begitu ALLAH Mengujinya dengan mendatangkan seorang musyrik, Abu Talhah al-Anshary; seorang yang berpengaruh dalam masyarakat pada ketika itu. Lamaran pertamanya ditolak namun apabila Abu Talhah mendatanginya kali kedua, lamarannya diterima dengan syarat Abu Talhah sanggup membayar mahar yang berbentuk keislamannya. Hasil penikahan yang maharnya terlalu istimewa ini, mereka dianugerahkan ALLAH kebahagiaan yang tidak berbelah bagi berkat doa Rasulullah SAW. Baginda pernah diriwayatkan mendoakan supaya Ummu Sulaim dikurniakan anak yang baik.


Lihatlah..Ummu Sulaim, pertama kalinya, beliau dikurniakan ALLAH seseorang yang bukan untuknya, si suami yang bukanlah jodoh untuknya, secara logiknya, apakah layak seorang yang baik itu pasangannya seorang yang ingkar pada perintah ALLAH, sungguh jawapannya sudah pasti TIDAK. Namun berkat kesungguhan serta keyakinannya, kehidupannya lebih bahagia apabila ALLAH memilih Anas untuk dibesarkan serta diasuh oleh Rasulullah SAW sendiri. Begitu tinggi darjat si anak itu sehinggakan sehingga kini nama Anas bin Malik begitu sinonim dengan hadith-hadith sahih yang diriwayatkannya. Tidak kurang hebatnya, Ummu Sulaim juga banyak diingati atas sikapnya yang begitu telus dan iman yang mantap terhadap ALLAH dan Rasul Nya sehinggakan namanya disebut sebagai salah seorang yang dijamin syurga. Sungguh ALLAH itu Maha Penyayang.

Inilah hadiah serta ganjaran bagi mereka yang yakin akan janji ALLAH. Bayangkan jika Ummu Sulaim memilih untuk memilih Malik, suaminya mengatasi kepentingan agamanya, maka sungguh,itu adalah suatu yang amat merugikan baginya. Alhamdulillah dirinya telah dimuliakan oleh Tuhan nya yang telah memilih dirinya untuk diangkat darjatnya di akhirat kelak. Moga-moga roh nya sedang bersenang-lenang pada detik ini, moga-moga kita semua dapat mengambil ibrah daripada pengalaman hidup pemilik mahar yang istimewa ini. InshaALLAH bermanfaat untuk diaplikasikan dalam kehidupan kita pada hari ini.




Inginkah kita mengikuti perjalanan kehidupan yang sungguh menarik dan indah seperti kisah Ummu Sulaim ini? Sudah bersediakah untuk menghadapi apa jua rintangan jika benarlah pasanganmu hari ini, bukanlah ALLAH Ciptakan untuk menghiasi dirimu? Syukurilah setiap nikmat ALLAH dan hargailah cinta Ilahi kerana melalui cinta yang mendalam terhadap Nya lah, kita dapat mengelakkan diri kita daripada terjerabah dalam kancah cinta buatan manusia ini


Wallahua'lam