Wednesday 7 July 2010

ADAB BERJIRAN


assalamualaikum wbt...

SYARIAT DALAM BERMASYARAKAT

2. ADAB BERJIRAN


" Hak dan adab kita dengan jiran tetangga meliputi 40 buah keluarga di sekitar kediaman kita "

Rasulullah SAW mengutamakan konsep menghormati dan berbaik-baik dengan jiran tetangga melalui sabda Baginda yang diriwayatkan oleh al-Syaikani yang bermaksud;
" Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian, hendaklah ia memuliakan jiran tetangganya"


Syeikh Dr Abd Aziz Ibn Fauzan Ibn Soleh Al-Fauzan menerusi kitabnya "Fiqh Ta'amul Ma'an Nas" telah menetapkan kedudukan jiran yang dibahagikan kepada 3 jenis iaitu:
* Hak untuk orang musyrik kafir
* Hak untuk orang muslim yang tiada talian kekeluargaan
* Hak untuk orang muslim yang ada hubungan kekeluargaan


Demikian jugalah disebutkan pula dalam Kitab Tanhibul Ghalifin m/s 153 Jilid 1 dan Tafsir al-Qurtubi m/s 183 Jilid 5 serta Fathul Bari m/s 441 Jilid 10 yang menyatakan perihal yang sama iaitu pembahagian jiran kepada 3 kategori seperti di bawah:
* Hak untuk orang yang bukan Islam (kafir); mempunyai satu hak yakni hak kejiranan
* Hak untuk orang muslim yang tiada talian kekeluargaan ; mempunyai dua hak iaitu hak muslim dan hak kejiranan
* Hak untuk orang muslim yang ada hubungan kekeluargaan; mempunyai tiga hak iaitu hak Islam, hak kekeluargaan, hak kejiranan


Secara umumnya, seseorang ahli masyarakat mestilah mengambil kira beberapa perkara dalam menjalinkan hubungan kejiranan yang harmonis dengan jiran tetangganya seperti:
# Sama-sama menanggung penderitaan tetangga (bersimpati dan membantu kesusahannya)
# Menghindarkan diri daripada menyakiti hati tetangganya
# Melindungi jiran tetangga daripada kezaliman orang lain
# Memaafkan kesalahan tetangga yang tidak disengajakan atau yang disengajakan


Antara hak yang perlu kita laksanakan terhadap seorang teman/ jiran tetangga adalah:
* Mengucapkan salam ketika bersua muka
* Menjenguk mereka ketika mereka sakit/ berlakunya kematian
* Mendoakan mereka ketika mereka bersin
* Menolong ketika kesempitan
* Memenuhi undangan apabil dijemput (selagi tidak terdapat acara maksiat)
* Memberikan bantuan dalam usaha jihad dan kebajikan


Jiran dalam Islam


" Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang, dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda keburukan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk"

[ hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilild 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama ]


Rasulullah SAW telah menyatakan bahawa kepentingan memiliki jiran yang baik sebagai salah satu di antara tanda-tanda kebahagiaan, sbealiknya jika kita mempunyai jiran yang tidak baik/jahat, maka ia termasuklah sesuatu tanda keburukan dan derita. Islam merupakan agama yang syumul, kamil dan mutakamil dengan segala petunjuk yang meliputi aspek yang pelbagai termasuklah hujah yang terperinci dalam menekankan perihal kemasyarakatan ini.

Secara nuraninya, sudah menjadi fitrah bagi setiap individu untuk hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap manusia memiliki sifat saling memerlukan antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak mungkin bagi kita untuk mengasingkan diri dan hidup bersendirian tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama mana dia merupakan sebahagian daripada sesebuah masyarakat.

Nikmat memiliki tempat tinggal yang selesa merupakan salah satu rezeki dan nikmat kurniaan Ilahi kepada kita sebagai pelindung serta sebagai satu medium untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih teratur dan selesa; memudahkan kita untuk beribadah kepadanya serta berehat-rehat setelah penat berhempas-pulas mencari rezeki.

Kedudukan jiran itu pula berbeza-beza martabat serta kedudukannya di sisi Islam meskipun setiap satunya memiliki hak untuk diperlakukan baik dan dimuliakan. Hal ini telah diperjelas menerusi riwayat Aisyah r.a yang bermaksud:
" Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki dua jiran dan yang mana satukah hendak aku berikan hadiah? Maka sabda Baginda; " Kepada yang lebih dekat dengan pintu rumahmu"
[ Hadith sahih riwayat Bukhari no 2140 ]



wallahua'lam

wassalam