Saturday 17 July 2010

Sakit? Apa ubatnya?

assalamualaikum wbt...


sakit ke?
Doctor cakap macam-macam
Ubat dah berguni-guni kat rumah
Hari-hari bersarapankan ubat-ubatan, tengah hari pula berulamkan pil-pil tahan sakit, makan malam pula berlaukkan ubat-ubatan tradisional
Subhanallah sungguh padat jadual harian dengan ubat-ubatan jika hidup ini sudah mula berpenyakit
So, hargailah usia muda sekarang sebelum datangnya usia senja yang mula disukai oleh penyakit-penyakit itu..
Jagalah jasad pinjaman Ilahi ini sebelum ia mula meragam di sana sini

Back to our original topic..

Ana tertarik dengan kaedah perubatan Islam yang diusahakan oleh golongan-golongan tertentu spt Persatuan kebajikan dan pengubatan Islam seMalaysia (Darussyifa')
Diharapkan mentaliti masyarakat boleh berubah daripada kebergantungan kepada doctor/ubat-ubatan itu kepada ALLAH menerusi penggunaan ayat-ayat suci al-Quran
Moga-moga lebih ramai masyarakat Islam kita akan lebih mendekati dan mencintai al-Quran sehingga dapat membentuk kembali generasi al-Quran yang mantap seperti suatu era masa terdahulu
Antara motto yang digunakan oleh Darussyifa' yang menarik perhatian ana secara personally adalah
"Kesembuhan hanya daripada ALLAH SWT, Tiada yang boleh menyembuhkan melainkan ALLAH SWT"

Ana bukanlah orang berpengetahuan perihal perubatan Islam ini
lantas ana mengambil keputusan untuk bertanya kepada yang lebih tahu
Alhamdulillah jawapan akhi tersebut dapat menghuraikan simpulan-simpulan yang berbekas di hati ana selama ini
Alhamdulillah ana merasakan kaedah perubatan ini lebih banyak manfaatnya kepada kita semua..

Namun begitu, pesanan akhi tersebut kepada ana perihal perubatan Islam ini sangat menarik.. Diharapkan bermanfaat kepada kita semua juga hendaknya;
Setiap individu yang 'berubat' dengan kaedah penggunaan ayat suci al-Quran di Darussyifa'/pusat2 perubatan Islam yang lain perlulah sedar bahawa kebergantungan mereka yang sebenar adalah pada ALLAH semata-mata, tiada lain melainkan ALLAH SWT,

Personally, pendapat peribadi ana, ana bersetuju dengan adanya pusat perubatan Islam sebegini kerana secara tidak langsung, ia mengembalikan kebergantungan kita semua kepada ALLAH.
al-Quran pula tidak akan lusuh ditelan arus perubahan masa dan hanya terbiar di almari semata-mata. Orang ramai mula kembali ke suatu zaman di mana al-Quran menjadi sumber rujukan utama sekiranya ada apa-apa masalah. Bukanlah ubat-ubatan itu tidak perlu, tapi kadang-kadang penyakit yang menimpa kita barangkali merupakan peringatan daripada ALLAH kepada kita yang mungkin terlalai dengan keseronokan duniawi. Bukankah kita pernah belajar, sumber utama kita sebagai panduan dalam kehidupan ini adalah al-Quran dan as-sunnah.. Namun, kenapa kita masih menjauhi al-Quran? Perlukah hanya ketika susah/sakit, barulah kita ingin kembali kepadanya? Namun, bagi ana, jika kita kembali juga pada al-Quran meskipun ketika sakit/susah, ia adalah suatu petanda yang cukup baik kerana jika kita istiqamah dengan amalan mendekatkan diri dengan al-Quran tersebut, dapatlah kita sedikit sebanyak menceduk ilmu daripadanya.
Bukankah akhlak Rasulullah SAW yang ingin kita contohi?
Lupakah kita Aishah r.a pernah menyatakan bahawa akhlak Rasulullah SAW adalah akhlak al-Quran, oleh sebab itu, jika kita betul-betul ingin mencontohi akhlak Rasulullah SAW, dekatilah dan amalkan ilmu-ilmu yang diajarkan ALLAH menerusi al-Quran yang Bijaksana itu.. :)

Kembalinya manusia kepada al-Quran diharapkan dapat mengembalikan keunggulan Islam di mata dunia kembali
Janganlah sekadar pergunakan al-Quran untuk kepentingan dirimu ketika kamu sakit, lantas apabila ALLAH telah Menyembuhkan penyakitmu, kamu berpaling kembali dari Nya seolah-olah kamu tidak pernah meminta pertolongan Nya. Nauzubillah..

Berkembangnya pusat-pusat perubatan Islam serta bilangan orang yang berubat dengannya diharapkan membuka lembaran baharu kepada generasi akan datang supaya lebih meletakkan kebergantungan kepada ALLAH SWT semata-mata serta meletakkan al-Quran pada level yang paling tinggi sebagai sumber rujukan seharian.
ALLAH tidak mendapat sebarang manfaat jika ayat-ayat suci al-Quran Nya dibacakan olehmu, ALLAH tidak mendapat sebarang manfaat jika kita semua kembali ke jalanNya, malah sebarang perbuatanmu tidak meninggalkan sebarang kesan bagi ALLAH yang Maha Berkuasa.
Jika kamu berfikir kamu mampu menipu ALLAH, ingatlah ALLAH Maha Mengetahui apa yang terzahir ataupun yang kamu sorokkan daripada Nya, serta ALLAH lah sebaik-baik Pembalas tipu daya

Jika kita semua kembali kepada Nya, mula kembali kepada al-Quran, ingatlah membaca setiap huruf dalam al-Quran itu ada ganjarannya daripada ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Diharapkan selain ayat-ayat yang diberikan oleh si muallij kepada pesakit untuk diamalkan itu, dapat jugalah kita tambah sendiri ayat-ayat lain daripada al-Quran; semoga dapatlah kita menambahkan amal kita kepada Nya.

Namun begitu, janganlah apabila telah pulih nanti, kebergantungan pada ALLAH itu terus lumpuh. Jika begitu, tiada bezalah perubatan modern ataupun perubatan Islam, yang pentingnya akidah itu perlu utuh. Saki bakinya hanyalah usaha serta ikhtiar daripada kita dalam menempuh segala dugaan dan ujian Nya

Ubat-ubatan kalau kita dah pulih, tak perlu lagilah ke hospital untuk terus dapatkan ubat yang sama; jika ada saki-baki pun kebarangkalian besar, kita dah tak perlu makan lagi, kerana kesannya hanyalah sementara.
Namun, diharapkan dengan penggunaan ayat-ayat suci al-Quran sebagai amalan harian kita itu, dapatlah berterusan (istiqamah) serta meninggalkan impak yang besar dalam hidup kita seharian.
Sebolehnya akan terasa rindu apabila tidak membaca ayat-ayat suci al-Quran dalam diari hidup kita seharian. InshaALLAH
Manfaat yang ALLAH nak bagi mungkin bukan sahaja daripada yang nyata, yakni penyembuhan penyakit itu sendiri namun bagi ana, ada impak yang lagi besar iaitu pembersihan jiwa dan kembalinya hamba-hamba Nya kepada ALLAH yang Maha Esa.
Cukup manis bagi ana yang baharu sahaja dalam proses mengenali kemanisan Iman dan Islam ini. Cukup tersusun perancangan ALLAH untuk kita. Dia Mengilhamkan sesuatu yang cukup besar ertinya kepada jiwa manusia yang sentiasa inginkan tempat untuk bergantung dan yakinlah bahawa sebaik-baik tempat bergantung hanyalah pada Dia yang Maha Pencipta.


Wallahua'lam