Thursday 1 July 2010

KISAH CINTA DALAM AL-QURAN

assalamualaikum wbt...

KISAH CINTA DALAM AL-QURAN

Buat julung-julung kalinya TG Nik Aziz mengupas secara terbuka perihal cinta yang diceritakan menerusi Kalam ALLAH yang terunggul iaitu al-Quran. Cinta diistilahkan sebagai tajuk yang "terbungkus" kerana ia berbentuk perasaan. Jauh di dasar agama, ia bersifat "malu-malu", berwajah seni, dan menjadi bawaan jiwa. Hadirnya ghaib tetapi roh kezahirannya wujud memukau serta meninggalkan kesan cakaran yang keliru di mana-mana sahaja. Jika mampu ditaksirkan gambaran cinta itu walaupun cuma sedikit sahaja, ia dapatlah didefinisikan sebagai satu anugerah qudus ciptaan ALLAH SWT sepertimana yang telah diisyaratkan oleh ALLAH menerusi al-Quran yang bermaksud:

" Katakanlah jika kamu (benar-benar) menyintai ALLAH, maka ikutilah aku nescaya ALLAH akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"
[3:31]


Cinta daripada bahasa nya diistilahkan sebagai kasih sayang yang berlawanan pula dengan perkataan benci. Cinta secara general ditafsirkan sebagai kecenderungan jiwa kepada sesuatu yang dilihat, dikira, dan dirasakannya elok.

Cinta ALLAH kepada hamba-hamba Nya pula dizahirkan menerusi keredhaan ALLAH terhadap hamba-hamba Nya yang disertai kebaikan-kebaikan ALLAH terhadap hamba-hamba tersebut. Sebaliknya, bagi cinta seorang hamba kepada ALLAH, ia adalah dalam bentuk penta'dziman (pengagungan) kepada Nya yang dizahirkan menerusi perilaku ketaatan, kebaktian, dan rasa tunduk dan taat yang tulus ikhlas dalam menjalankan amal ibadah dan ubudiyyah kepada Nya.

Terdapat banyak gambaran "wajah" cinta ALLAH kepada kita hamba-hamba Nya sebagaimana yang telah diriwayatkan menerusi KalamNya; ALLAH mencintai manusia yang bertaqwa, mereka yang berbuat kebaikan, manusia yang sentiasa mensucikan diri, manusia yang sentiasa memperbaharui taubat serta thiqah dengan jalan Nya, manusia yang sentiasa pasrah dengan qadha' dan qadar Nya, manusia yang sabar serta manusia yang adil lagi bijaksana dan sentiasa mengamalkan amal makruf nahi mungkar dalam kehidupan.

ALLAH menerusi al-Quran telah menjelaskan perihal kepribadiaan manusia yang tidak dicintai Nya, termasuklah mereka yang zalim, golongan kafir, para pelanggar batas ketentuan ALLAH, yang melampau-lampau dalam setiap perbuatan dan tindak tanduknya, manusia yang sentiasa melakukan kerosakan di muka bumi ALLAH ini, mereka yang boros, para pengkhianat, manusia yang sombong dan bongkak, manusia yang melampaui dalam bersenang lenang, dan pelaku kejahatan lainnya yang dimurkai ALLAH.


Seseorang yang mendakwa dirinya mencintai ALLAH, maka seharusnyalah ia menyintai Rasulullah SAW dengan cara berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikuti serta mengamalkan segala sunnah-sunnah Baginda serta cuba untuk mencontohi perwatakan dan keperibadiaan baginda yang Aisyah r.a riwayatkan seperti akhlak al-Quran. Adapun citra (wajah) cinta seorang hamba kepada ALLAH, sebagaimana yang telah diceritakan oleh para ahli hikmah dengan adanya kelembutan kasih dalam diri sang pencinta sehinggakan memotivasikan dirinya untuk meningkatkan amal ibadah serta kebaikan sekaligus menunaikan setiap amal perintah ALLAH dengan hati yang penuh tulus dan ketenangan jiwa yang luhur, bersih sama sekali daripada sebarang kebencian dan keterpaksaan dalam menjalankan amal perintah Nya.

Bentuk cinta ALLAH kepada para hamba Nya pula terwajahkan dengan citra kehendak, kebaikan, pertolongan, dan perlindungan ALLAH swt kepada hamba-Nya serta bentuk kasih sayang ALLAH kepada diri hamba itu sendiri.

Firman ALLAH kepada nabi Musa a.s dalam surah Taha yang bermaksud:

"Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang daripada Ku dan supaya Kamu diasuh di bawah pengawasanKu"
[ Taha: 39 ]

ALLAH juga pernah berfirman kepada nabi Musa a.s yang berbunyi sedemikian;
"Aku sungguh telah mencintaimu wahai Musa, kerananya Aku semaikan (taburkan) rasa cinta dalam hati setiap manusia untuk mencintai dirimu"

wallahua'lam

..to be continued..
**inshaALLAH

wassalam



REFERENCE: Kisah Cinta dalam Al-Quran oleh Misbah Em Majidy sentuhanTG Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat