Wednesday 7 July 2010

Suami idamanku..

Assalamualaikum wbt...

Biarlah dia seorang yang buta....
Kerana matanya sunyi dari melihat
perkara-perkara maksiat dan laghah
Kerana kedua matanya terpelihara dari
memandang aurat wanita ajnabi[1]
Asalkan kedua matanya terang
dalam memerhati keagungan ciptaan Allah
Asalkan dia celik dalam melihat kesengsaraan umat Islam
di Palestin, Bosnia, dan seumpamanya


Biarlah dia seorang yang bisu......
Bisu dari pujuk rayu yang bisa mengoncang keimanan
Bisu dari mengungkapkan ungkapan yang bisa meracun fikiran[2]
Bisu dari perkataan yang bisa mengundang kekufuran..
Asalkan bibirnya sentiasa basah mengingati Tuhan
Asalkan lidahnya tidak pernah lekang dari membaca Al-Quran
Asalkan dia petah membangkang kemungkaran
dan dia lantang menyuarakan kebenaran..


Biarlah dia seorang yang bakhil
Bakhil dalam meluangkan masa untuk membuat temujanji
dengan wanita ajnabi yang boleh dinikahinya
Bakhil untuk menghabiskan wang ringgitnya [3]
kerana seorang wanita yang tidak sepatutnya..
Tetapi dia begitu pemurah
meluangkan masanya untuk beribadah dengan Khaliqnya
Dia begitu pemurah untuk mempertahankan aqidahnya
Pemurah dalam memberikan nasihat dan teguran
Sehingga dia sanggup menggadaikan hartanya bahkan nyawanya
demi melihat kalimah syahadah
Kembali megah di muka dunia..


Biarlah dia seorang yang papa...
Papa dalam melakukan perkara maksiat
Papa dalam ilmu-ilmu yang tidak berfaedah
dan tidak bermanfaat
Papa memiliki akhlaq mazmumah..
Tetapi dia cukup kaya dalam pelbagai ilmu pengetahuan
Dia begitu kaya memiliki ketinggian akhlaq
dan budi pekerti yang mulia
Dia begitu kaya dengan sifat sabar
dalam mengharungi tribulasi kehidupannya..
Dan dia seorang yang kaya
dalam menanam impian untuk menjadi seorang syuhada
yang syahid di jalan Allah[4].


[1] Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
[an-Nur: 30]

[2] "Simpanlah lidahmu, kecuali untuk perkataan yang baik. Dengan bersifat sedemikian, engkau bisa mengalahkan syaitan"
[ hadith riwayat Ibnu Hibban ]

"Berbahagialah orang yang mampu menahan kelebihan lisannya"
[ hadith riwayat Ibnu Hibban ]

[3] "Sesungguhnya pembazir-pembazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya"
[ 17:27 ]

[4] "Dan jangan sesekali Engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan ALLAH itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan beroleh rezeki; (dan juga) mereka bersukacita dengan Kurniaan ALLAH (balasan mati syahid) yang telah dilimpahkan ke atas mereka, dan mereka bergembira mengenai (saudar-saudara) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak pula berdukacita. Mereka bergembira dengan balas nikmat dari ALLAH dan limpah kurnia-Nya; dan (ingatlah) bahawa ALLAH tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman"
[ 3:169-171 ]



WALLAHUA'LAM

WASSALAM~~