Sunday 11 July 2010

~REZEKI~

assalamualaikum wbt...

~REZEKI~

Kes 1
# Ali (bukan nama sebenar) ke kedai, nak beli ikan patin untuk dibawa pulang ke rumahnya. Dalam perjalanannya ke kedai, tiba-tiba dia terlanggar batu, menyebabkan ia terlupa mengenai apa yang perlu dibelinya di kedai. Lantas, dia pulang semula ke rumah untuk bertanya ibunya. Setelah sudah mendapatkan kepastian 100% daripada ibunya dan mencatatkannya pada nota ringkas yang dibawanya bersama-sama ke kedai, Ali berjalan dengan girangnya ke kedai, dengan keyakinan 200% bahawa kali ini dia takkan terlupa lagi. Sebaik sahaja ia sampai di kedai tersebut, Pak Cik Abu (bukan nama sebenar), memberitahunya bahawa ikan patin sudah habis terjual pada hari ini. Dia pulang ke rumah tanpa seekorpun ikan patin.
"tiada rezeki"

Kes 2
Pada keesokan harinya, Ali ke kedai tersebut awal-awal pagi dengan harapan kali ini, ia akan berjaya membeli ikan patin yang sudah lama diidam-idamkannya. Dengan semangat yang berkobar-kobar, Ali 'set' jamnya pada awal pagi dan sejurus selepas subuh, ia terus turun dari rumahnya, bergegas ke pasar berhampiran rumahnya. Alhamdulillah. Ali bersyukur sangat kerana akhirnya ia berjaya membelinya. Selepas membeli ikan patin idaman hati, Ali berjalan-jalan di sekitar pasar tersebut mencari-cari barang-barang dapur yang dikirimkan oleh ibunya. Setelah selesai segala urusannya, ia pun lantas pulang ke rumahnya. Ali meletakkan kesemua barang yang dibelinya di dapur lalu terus naik ke bilik untuk menukar persalinannya. Tiba-tiba, 5 minit kemudian, ibunya memanggil namanya lantas bertanya kepada Ali,"Ali, kau tak beli ke ikan patin yang mak pesan tu?"
Ali terkejut yang teramat lantas berlari ke dapur mencari-cari di motosikalnya juga, barulah ia sedar bahawa ia tertinggal plastik yang berisi ikan patin tersebut di pasar.
"tiada rezeki"

Kes 3
Sekali lagi, Ali ke pasar. Hari ini, Ali tekad akan lebih berhati-hati. Sudah 2hari, ia kempunan mahu merasa keenakan lauk ikan patin masakan ibu kesayangannya. Hari ini ia benar-benar tekad untuk merasakan masakan lemak tempoyak ibunya itu. Hari ini, ternyata benarlah, cukup berhati-hati Ali. Setelah ia selesai membeli ikan patin, terus ia menyimpannya di raga motosikalnya. Pulang ke rumah, Ali terus ke bilik air atas tuntutan mendesak. Setelah selesai urusannya, ia teringat perihal ikan patinnya yang masih tertinggal di raga motornya. Dia terus bergegas keluar ke halaman rumahnya, dan terus mencari ikan di raga motosikalnya. Anehnya ikan itu sudah lesap. Rupa-rupanya si kucing-kucing yang sedang kelaparan itu sedang berparti dengan jamuan ikan patin mewah yang dicurinya daripada raga motorsikal Ali itu. Dikejarnya Ali kucing itu tapi tiada gunanya kerana ikan itu kesemuanya telah dijamah dan menjadi santapan si kucing-kucing kelaparan itu.
"ALAMAK...tiada rezeki lagi"
Kes 4
Sekali lagi, Ali ke pasar. Hari ini, makin berkobar-kobar hasratnya untuk memastikan masak lemak tempoyak ikan patinnya dapat dijamu pada hari ini. Tiada istilah putus asa dalam jiwa anak muda ini. Baguslah!!
Hari ini, diringkaskan cerita, Ali berjaya membeli, membawa pulang, dan menyerahkannya sendiri kepada ibunya ikan patin yang dibelinya di pasar yang berhampiran rumahnya. Alhamdulillah, lega ibunya. Ibunya, Mak Limah (bukan nama sebenar) terus menyiang ikan tersebut, membersihkannya, mulalah proses menumis dan memasak oleh "Chef Limah" yang terhebat di mata Ali itu. Ikan pun dimasukkan ke dalam periuk. Sementara menunggu ikan tersebut masak, tiba-tiba ada pula bunyi bising kedengaran di luar. Kedengaran seperti ada orang sedang bergaduh-gaduh di luar rumahnya. Bunyi riuh-rendah itu meresahkan Mak Limah, ia lantas bergegas keluar dari rumahnya untuk melihat apa yang sebenarnya terjadi di luar itu. Diringkaskan cerita, apabila ia masuk semula ke rumah, ikan patinnya telah rentung, asap berkepul-kepul dari dapurnya.
"ALAMAK...tiada rezeki lagi!! KESIAN Ali dan Mak Limah yer huhu"
Kes 5
Penat dah Ali dan Mak Limah mencuba, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk membelinya dan makan terus di Restoran berhampiran.
"AKHIRNYA...ada juga rezeki mereka..alhamdulillah"
Semua ini mungkin nampak seolah-olah "biasa" sahaja di mata kita..
Tapi, sedar tak penentuan rezeki itu adalah di tangan ALLAH.
Jika ALLAH tak izinkan sesuatu itu untuk berlaku, mungkin juga walaupun Mak Limah dan Ali ke kedai, tiba-tiba kedai pula tutup, ataupun mungkin juga Ali akan terlekat ikan tersebut lantas terpaksa memuntahkannya kembali. Pelbagai cara ALLAH boleh takdirkan kepada kita jika Dia Mengkehendakinya.
Oleh itu, janganlah gelabah apabila sesuatu itu diambil kembali daripada kita, Kita kenalah belajar untuk sentiasa redha dengan qada' dan qadarnya, menerima segala ketentuan ALLAH dengan tabah dan sabar.
Ingatlah kata-kata ini;
“Jika Dia menghalangimu atas apa yang menjadi hakmu, bererti Dia telah menzalimimu; tetapi jika Dia menghalangi kerana sesuatu yang ada padaNya, maka sesungguhnya Dia memberikan rahmatNya kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya.”

Hakikatnya, kesemuanya adalah hak milik ALLAH, oleh itu, jika apa-apa berlaku, contohnya apabila kita terhalang daripada memiliki sesuatu yang kita idam-idamkan selama ini, ia mungkin dapat menjadi "checklist" kepada kita, bagaimanakah cara yang kita ambil untuk berdepan dengan ujian ALLAH itu. Ingatlah sentiasa surah al-Mulk ayat ke-2; bahawa mati dan hidup itu adalah sebagai ujian, siapakah di antara makhluk ciptaan-Nya yang lebih baik amalannya.
Kita sebagai makhluk ciptaan Nya, tidak layak untuk mengatakan bahawa ALLAH itu berlaku zalim kepada kita apabila kita tidak beroleh apa-apa yang kita ingini kerana kesemuanya adalah hak milik ALLAH. Tiada suatupun yang merupakan hak milik kita ataupun hak cipta kita melainkan kesemuanya adalah hak milik mutlak ALLAH. Dia berikan kesemua ini kepada kita atas kasih sayang Nya yang teramat kepada kita selaku makhluk ciptaan Nya
Subhanallah
wallahua'lam