Saturday 28 August 2010

Muslims will never forget and been forgotten!! inshaALLAH

Assalamualaikum wbt...

Pernah tak antum/antunna merasakan yang sesuatu yang diperoleh itu seolah-olah bukan diciptakan untuk antum/antunna? Ia cuma datang buat seketika dan akan berlalu pergi setelah ALLAH Menetapkan suatu titik noktah untuknya. Ia akan berlalu melabuhkan tirainya pada bila-bila masa sahaja meskipun kita masih belum bersedia untuk menerimanya.

Mungkin manusia fitrahnya terlalu tamak dengan apa yang ada di sisi ALLAH, tidak pernah merasa puas dengan apa yang telah diperoleh sehinggakan apabila ALLAH menarik kembali nikmat daripada mereka, lantas mereka akan melatah dan mula menyalahkan Tuhan yang Maha Esa atas segala kekurangan dan kehilangan harta pinjaman mereka itu. Kerap kali manusia terleka dan terlupa akan hakikat penciptaan mereka. Kadangkala mereka beraksi di pentas lakonan duniawi ini seolah-olah merekalah tuan pemilik dunia ini, mereka hanya berdoa dan kembali kepada ALLAH apabila perlu semata-mata; tambahan pula, setiap kali mereka berdoa kepada ALLAH, mereka bukanlah berlagak seperti yang meminta belas ihsan ALLAH tapi seolah-olah merekalah yang lebih berkuasa daripada ALLAH, kerana perbuatan mereka tidak ubah seperti mengarah-arah ALLAH untuk memakbulkan segala permintaan mereka. Dilayannya pula ALLAH seperti kuli mereka, kuli yang akan melakukan apa sahaja suruhan mereka, sedangkan diri sendiri itulah hamba kepada ALLAH namun tidak pernah pula ia merendahkan diri serta menyerahkan diri sepenuhnya kepada ALLAH.

Adakah ini generasi umat Islam yang kononnya telah lama merdeka dari jajahan kuasa asing? Tidakkah mereka sedar bahawa jiwa dan pemikiran mereka masih dijajah dan dikuasai oleh kuasa asing, tidak sedikitpun ada ruang pada diri mereka yang masih belum dijajah.

Sekularisme, patriotisme, segala-galanya yang berakhir dengan -isme semuanya agenda licik ciptaan kuasa asing yang bersifat seolah-olah syaitan yang bertopengkan manusia dalam usaha mereka untuk mengalihkan tumpuan umat Islam daripada penumpuan sepenuhnya pada Islam kepada suatu gaya hidup baru yang lebih bersifat sekular. Penjajahan pemikiran umat Islam telah berlaku sejak berabad-abad lamanya, namun umat Islam masih ramai lagi yang sedang nyenyak dibuai mimpi lena mereka, dibuai angan-angan dan mimpi indah yang dibius oleh pihak penjajah. Katanya, "negara kalian telah kami bebaskan, kalian semua bebas untuk melakukan apa-apa jua mengikut kata hati tuan puan, kami takkan masuk campur lagi"

SORRY..YOU HAVE BEEN FOOLED FOR AGES!!

Kesemua itu hanyalah perjanjian pada kertas putih yang tidak membawa apa-apa pengertian dalam kamus hidup para penjajah kerana mereka tidak pernah berhenti menjajah kita semua dari dulu lagi.

Adakah antum antunna sekalian percaya bahawasanya negara yang kalian duduki kini sudah betul-betul bebas daripada sebarang anasir negatif hasil bawaan virus si penjajah itu?
Adakah negara ini betul-betul mampu menjalankan aktiviti sehariannya tanpa perlu tunduk sedikit pun pada suatu kuasa yang lebih bersifat global di luar sana?
Tiadakah lagi penasihat-penasihat British yang datang dan masuk campur dalam urusan negara dengan urusan yang lain-lainnya?
Apa pula peranan raja-raja Melayu yang setiap tahun pasti akan disambut majlis pertabalannya dengan penuh kemewahan itu? Bolehkah raja-raja pada masa kini menjalankan tugasnya sepertimana raja-raja yang terdahulu seperti Umar bin Abdul Aziz, Abdullah bin az-Zubair, Muhammad al-Fateh, dan Salahuddin al-Ayubi?
Bolehkah?

Mahukah antum antunna membuka kembali kelopak mata yang telah tertutup setelah sekian lama itu?
Sekularisme menyerang tanah air kita ketika saatnya Perjanjian Pangkor 1874 yang lalu apabila pihak penjajah mula mengasingkan kuasa pemerintahan daripada agama Islam, kononnya Raja/Sultan-sultan akan diberikan kuasa untuk memelihara adat istimewa orang Melayu dan hak agama Islam selebihnya urusan pentadbiran akan diuruskan oleh pihak Inggeris yang bertindak sebagai penasihat/Residen di Tanah Melayu pada ketika itu.

Pada saat itu, mungkin jika dilihat kembali sejarah Tanah Melayu, raja-raja dan para pembesar kebanyakannya memberontak atas dasar tidak puas hati apabila mereka kehilangan kuasa dan pemerintahan mereka di Tanah Melayu, tapi pernahkah kita sedar bahawa ada juga golongan ulama' serta sultan yang sedar betapa besarnya impak penjajahan itu pada keutuhan agama Islam pada ketika itu.

Tok Janggut misalnya antara tokoh tempatan yang bangkit menentang penjajah yang kononnya bersandarkan atas rasa tidak puas hati apabila pihak British mengenakan cukai di Kelantan yang dianggap sebagai suatu penindasan kepada penduduk pribumi Tanah Melayu. Namun hakikat sebenarnya, Tok Janggut bangkit bukanlah semata-mata atas urusan itu, namun lebih mulia daripada itu. Ayuh kita renung kembali lipatan sejarah Tok Janggut yang sebenar, yang tidak mungkin dapat kita peroleh menerusi buku-buku sejarah tempatan di tanah air kita sendiri memandangkan isu ini telah banyak disorokkan oleh pihak penjajah supaya generasi muda seperti ana serta sahabat dan sahabiyah sekalian tidak tahu perihalnya.


Tahukah antum antunna bahawasanya HAJI pada suatu ketika dahulu bukanlah hanya suatu pangkat ataupun gelaran untuk mereka yang telah mengerjakan ibadah haji di Baitullah tapi ianya lebih daripada itu. Percayakah sekiranya ana katakan bahawa panggilan HAJI itu pernah mencipta satu fenomena pada suatu ketika dahulu, fenomena yang cukup digeruni oleh pihak penjajah pada ketika itu.

Dr Christian Snock Hugronje, seorang orientalis tersohor pada dekad masa tersebut menyimpulkan bahawasanya sekiranya terdapat golongan Haji Indonesia di suatu kawasan pada ketika itu, ia bukanlah menjadi suatu simbol yang perlu digeruni dan diperangi oleh pihak Belanda yang menjajah Indonesia pada ketika itu kerana serban yang dipakai oleh golongan ini hanyalah semata-mata suatu lambang bahawasanya mereka telah selesai menunaikan ibadah Haji, tidak semestinya golongan ini ada menyimpan rasa benci kepada pihak penjajah. Namun, ada golongan yang sebegini yang perlu digeruni oleh pihak penjajah, yakni apabila mereka pulang ke tanah air dengan ilmu pengetahuan Islam sebagai suatu cara hidup yang syumul, maka kelompok haji inilah yang perlu diperhatikan serta dimusuhi oleh pihak penjajah pada ketika itu.

Fenomena ini berlanjutan sehinggalah British mengarahkan Sultan Muhammad IV untuk melarang golongan rakyat yang majoritinya terdiri daripada golongan para ulama' menyokong kerajaan Turki Uthmaniyah malah Mufti Kelantan pada ketika itu dikerah untuk mengeluarkan satu surat yang berbentuk sokongan kepada kerajaan British dalam suatu peperangan menentang Turki Uthmaniyah.

Tahukah kita undang-undang tanah tradisional Melayu itu sebenarnya adalah undang-undang tanah yang berasaskan Islam yang asasnya adalah menurut prinsip ihya (usaha) dan thajir (tanda). Oleh sebab itulah, secara logiknya apabila si penjajah yang berhawa binatang itu cuba untuk menghapuskan undang-undang tanah tradisional, maka pada saat itulah ramai golongan ulama' yang bangkit menentang mereka.
Sedarkah kalian bahawa selama ini mata kita ditutup daripada menyaksikan kebenaran yang hakiki perihal payah jerih mereka dalam menegakkan syiar Islam yang cuba dirobohkan oleh pihak penjajah itu. Bukanlah tanah serta cukai yang menjadi ukuran dan punca kemarahan mereka, namun sebaliknya para pejuang tempatan ini bangkit atas dasar kesedaran betapa pentingnya mereka mempertahankan syariat Islam di muka bumi ALLAH ini.

Maka, gugurnya mereka dalam perjuangan mereka itu adalah mati syahid bukanlah mati sia-sia seperti yang digambarkan oleh para penjajah itu. Mereka bertindak seolah-olah pengecut yang hanya berani melontarkan batu, namun selepas disedari orang awam, ia segera menyorokkan tangannya dan menuduh orang lain yang melakukannya. Ramai para ulama' dan pejuang yang kononnya bersifat nasionalis itu sebenarnya diajadikan sebagai kambing hitam mereka dalam menjayakan misi evil mereka dalam menjatuhkan tanah air kita.

Jika dahulu kita pernah dijajah, namun kini, setelah kita ketahui, takkanlah ingin kita teruskan lagi bermimpi. Tidak mahukah kita teruskan perjuangan yang pernah dimulakan oleh nenek moyang kita yang terdahulu yang bersungguh-sungguh berkorban meskipun mereka tahu usaha murni mereka itu belum pasti akan membuahkan hasil namun ALLAH telah menolong mereka dengan cara mendedahkan kisah sebenar perjuangan mereka supaya kita sebagai generasi penyambung rantaian besi dakwah itu untuk menjadi golongan yang kuat dan bersemangat demi mengembalikan kembali syiar Islam yang pernah berkembang biak di muka bumi ini.

Apakah Tok Janggut yang ketika pemberontakannya itu telah berusia lewat 60-an ataupun secara spesifiknya telah berusia 65 tahun, sanggup bangkit untuk melawan penindasan pihak penjajahan jika hanya disandarkan atas kepentingannya semata-mata? Sungguh individualistik gambaran yang diberikan terhadap beliau dalam mana-mana buku sejarah di tanah air ini, sungguh memilukan rasanya apabila jasa seorang ulama' itu dipandang enteng oleh generasi muda kini. Sebagai analogy nya, seorang atuk yang bermati-matian cuba menentang kezaliman British semata-mata kerana tidak puas hati atas harga cukai yang mahal. Seorang atuk yang usianya sudah lanjut boleh memilih untuk duduk berehat di rumah, bersenang-lenang di rumah anak serta cucunya yang tersayang, kenapa pula ia perlu memilih jalan yang susah semata-mata kerana 'kedekut' untuk membayar cukai yang makin tinggi nilainya gara-gara tindak-tanduk si penjajah itu. Adakah logik seorang atuk untuk memilih kepayahan hidup diseksa semata-mata kerana terlalu berkira untuk membayar cukai itu sedangkan nyawanya lebih jauh bernilai daripada cukai yang tidak seberapa itu.
Masihkah kamu terleka? Tidak sedarkah kamu??

Tok Janggut secara peribadinya menentang kezaliman penjajah atas rasa cintanya terhadap Islam serta semangat jihadnya yang tinggi terhadap Islam. Beliau bukanlah calang-calang orang yang menentang hanya bersandarkan kepentingan peribadi, itu adalah sifat pak cik tua yang tiada perancangan rapi yang secara rambang telah menyerahkan nyawanya untuk dibunuh oleh pihak penjajah. Itu bukanlah sifat Tok Janggut yang bijak pandai itu. Beliau pernah menuntut di Makkah dan berguru dengan Syeikh Wan Ahmad al-Fathani yang merupakan guru kepada hampir seluruh ulama di nusantara ini. Tok Janggut kemudiannya telah pulang ke tanah air pada tahun 1910. Semangat jihad telah dipupuk secara mendalam dalam diri Tok Janggut sehinggalah ia gugur syahid selepas perjuangannya bermati-matian menentang musuh Islam itu.


Adakah kita benar-benar telah merdeka sekiranya masih banyak perkara yang belum kita jelas mengenainya? Masih banyak lagi yang dirahsiakan oleh pihak penjajah sehinggakan generasi kini menjadi buta akan sejarah silam ketamadunan Islam suatu masa dahulu. Sungguh licik permainan si penjajah, sudahlah datang menjajah negara orang, datang pula memalsukan info-info untuk menjajah pemikiran kami semua..
Segala info yang boleh membuatkan kami menentangmu di masa hadapan telah engkau lupuskan seolah-olah ia tidak pernah terjadi sebaliknya engkau cipta lipatan sejarah sendiri yang memburuk-burukkan golongan yang gugur syahid semata-mata untuk menegakkan agama ALLAH di muka bumi ini.


Betullah dahulu engkau datang dengan misi 3G, gospel, gold and glory
Telah engkau lakukan dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan usahamu itu berjaya, sungguh, engkau sungguh kejam.

Kini, kami telah sedar..
Kami pula akan bangkit
Perjuangan nenek moyang kami takkan kami lupakan
Kali ini, kami bangkit bukanlah atas dasar nasionalisme ataupun apa-apa yang berkaitan dengannya, tapi kami bangkit meneruskan perjuangan para ulama' yang engkau cuba lupuskan suatu masa dahulu
Malang sungguh nasib kami kerana terlalu mempercayaimu, sedangkan engkau bermati-matian memusuhi diri ini.
Janji ALLAH akan muncul kembali
Takkan kami sia-siakan peluang ini..
Kemerdekaan yang hakiki hanya akan muncul setelah kami berjaya melihat Islam memerintah dunia dan umat manusia hidup aman damai di bawah payung agama Nya yang syumul


InshaALLAH

InshaALLAH suatu hari nanti, sesuatu yang ALLAH janjikan bakal menjadi milik kami (kemenangan Islam) itu akan menjadi realiti yang manis rasanya..
Sungguh manis sehinggakan boleh membuatkan kalian terduduk dan kembali menjadikan Islam sebagai way of life..

Kami yakin dengan janji ALLAH itu dan kami tidak akan pernah berjaya dilalaikan lagi
InshaALLAH

ALLAHU AKBAR!!!


wallahua'lam