Thursday 12 August 2010

Kesempurnaan jihad

assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah; Kembali lagi setelah lama melesapkan diri daripada ruangan laman web blogspot ini, mohon ampun dan maaf bagi yang datang menjenguk tapi tiada sebarang update latest daripada blog ini.
Ayuh kita sambung kembali topik kesempurnaan zuhud yang pernah ana kupas dalam previous entries sebelum ini.


ZUHUD...
Apa erti sebenar zuhud?
Apakah dengan cara meninggalkan dunia dan menumpukan tujuan pada akhirat semata-mata itu dikira zuhud?

Rumusan para ulama' menyatakan bahawasanya
"Bukanlah zuhud itu mengharamkan yang halal dan mensia-siakan harta tetapi sesungguhnya zuhud itu apabila kamu lebih yakin dengan apa yang ada di sisi ALLAH berbanding apa yang ada pada kamu"

Imam Malik r.a pula berpendapat bahawa
"Zuhud itu bukanlah tidak berharta tetapi mengosongkan hati daripada mencintai harta secara berlebih-lebihan"

Pandangan yang sama juga diutarakan oleh Abdullah bin Abbas r.a yang berpendapat bahawa;
"Perkataan zuhud itu terdiri daripada tiga huruf iaitu zal, ha, dan dal. Zal bermaksud bekalan menuju ke akhirat, Ha bermaksud hidayah menuju agama, manakal Dal pula bermaksud istiqamah dalam melaksanakan ketaatan"

Menerusi definisi-definisi zuhud yang telah ana nyatakan seperti di atas, Islam menggambarkan bahawa zuhud adalah meninggalkan kepentingan dunia kerana dunia akan ditinggalkan serta menumpukan akhirat kerana itulah tempat yang lebih baik dan lebih kekal abadi



Syeikh Ibrahim bin Adham pernah ditanya seorang lelaki; "Bagaimana cara engkau mencapai darjat orang zuhud?"
Lantas Syeikh Ibrahim menjawab "Dengan TIGA hal.
PERTAMA: Aku melihat kuburan itu sunyi dan menakutkan, sedang aku tidak menemukan orang yang dapat mententeramkan hatiku di sana.
KEDUA: Aku melihat perjalanan hidup menuju akhirat itu amat jauh, sedang aku tidak memiliki cukup bekal
KETIGA: Aku melihat al-Rabb yang Maha Berkuasa menetapkan sesuatu keputusan ke atasku, sedang aku tidak mempunyai alasan untuk menolak keputusan itu"

Syeikh Abu al-Qasim Karim Hawazin al-Qushairi dalam risalah al-Qushairiah menyebut bahawa ALLAH swt memnggambarkan kesempurnaan zuhud itu yang diriwayatkan menerusi firman ALLAH yang bermaksud seperti berikut;
" Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya kesenangan dunia itu hanyalah sementara sedangkan akhirat jualah yang lebih baik bagi orang yang bertaqwa "
[4:77]

Daripada Abu Abbas, Sahl bin Saad al-Sa'idy telah berkata, " Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu berkata 'Ya Rasulullah tunjukkanlah kepadaku satu amalan yang sekiranya aku laksanakannya nescaya aku akan dicintai ALLAH dan dicintai manusia' , lantas Rasulullah SAW menjawab yang bermaksud " Berlaku zuhudlah di dunia nescaya engkau dicintai ALLAH. Berlaku zuhudlah pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya engkau dicintai manusia"
[ Riwayat Ibn Majah]

Source: Solusi Isu no 22 :)

WALLAHU'ALAM