Wednesday 29 May 2013

Mengapa Rasulullah masih meminta hidayah Allah...?

SOALAN:
Mengapakah Rasulullah SAW masih meminta hidayah kepada Allah padahal Baginda telah jelas-jelas diberi hidayah oleh Allah, bahkan melalui perantaraan Baginda jualah, ramai umat manusia telah menerima hidayah.


JAWAPAN:
·        Ibnu Taimiyyah berkata, “Rasulullah SAW masih meminta hidayah kepada Allah kerana hidayah itu mempunyai banyak levelnyaLevel tertinggi suatu hidayah itu adalah al-Wasilah yang sangat didambakan oleh Rasulullah SAW, dan inshaAllah Baginda mencapainya dengan izin Allah swt. Oleh itu, setiap individu muslim disunnahkan untuk mengamalkan doa sesudah azan yang bermaksud seperti berikut:

“Ya Allah, Pemilik seruan yang sempurna ini dan solat yang akan didirikan. Kurniakanlah kepada Muhammad  akan al-Wasilah dan keutamaan dan anugerahkanlah pula kepadanya kedudukan yang tinggi lagi terpuji yang telah Engkau janjikan kepadanya”

·        Semua orang pasti akan menginginkan agar petunjuk yang dia perolehi pada hari ini dan hari-hari mendatang lebih baik dan bertambah berbanding hari-hari sebelumnya. Oleh itu, wajarlah bagi Rasulullah SAW untuk sentiasa mendoakan kebaikan dan dikurniakan hidayah untuknya setiap hari; supaya hidayah yang diperoleh akan sentiasa bertambah tinggi berbanding hari-hari sebelumnya sehinggalah ia mencapai tahap yang paling tinggi di sisi Allah, inshaAllah.


·        Jalan untuk menuju hidayah itu terlalu banyak sehingga tidak terhintung bilangannya. Oleh itu, Rasulullah SAW selalu meminta kepada Allah untuk menambahkan petunjuk yang diberikan kepadanya secara berterusan.

·        Diceritakan oleh Aisyah r.a., bahawasanya Baginda Rasulullah SAW setiap kali bangun malam, selalu membaca doa berikut (yang bermaksud):

“Ya Allah, Tuhannya malaikat Jibril, Mikail, dan Israfil, Pencipta langit dan bumi dan yang Mengetahui hal yang ghaib mahupun yang nyata. Engkaulah yang akan mengadili di antara hamba-hambaMu terhadapa apa-apa yang mereka perbalahkan. Berilah aku petunjuk dengan izin-Mu tehadap kebenaran yang mereka pertikaikan. Sesungguhnya Engkau Pemberi petunjuk kepada jalan yang lurus”
[HR Muslim (1761), Abu Dawud (767), dan at-Tirmizi (3551)]

Rujukan:
‘Nasihat untuk Orang yang Terlanjur Melakukan Dosa’ hasil nukilan Dr Aidh bin Abdullah al-Qarni (terbitan JahaBersa)